


Oleh Noraini Nordin
(Ulasan Berita)
29 Julai 2025
‘ANWAR WIRA PENDAMAI’ begitulah gelaran yang diberikan oleh pencinta-pencinta kedamaian sebagai tanda penghargaan kepada PMX yang telah berjaya menoktahkan konflik Thailand-Kemboja dalam satu mesyuarat khas di Putrajaya petang semalam.
Pujian dan sanjungan terhadap kejayaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bukan sahaja diterima daripada rakyat biasa tetapi juga pemimpin-pemimpin dunia dari negara kuasa besar termasuk Amerika Syarikat (AS), Perancis dan Jerman.
Kejayaan rundingan damai antara Thailand dan Kemboja yang diusahakan Malaysia sehingga akhirnya dua negara berjiran tersebut bersetuju melaksanakan gencatan senjata adalah suatu pencapaian amat cemerlang buat PMX yang juga Pengerusi ASEAN.
Kejayaan mendamaikan Thailand-Indonesia yang secara langsung menjulang nama Malaysia di persada dunia.
BANYAK KEBURUKAN BERJAYA DIELAKKAN TERMASUK KEHILANGAN NYAWA
Berikutan kejayaan rundingan yang dilakukan di Malaysia itu dan kedua-dua negara setuju untuk melakukan genjatan senjata, realitinya banyak keburukan berjaya dielakkan termasuk kehilangan nyawa.
Pertempuran, kehilangan nyawa dan kesukaran dalam menjalani kehidupan seharian dengan sendirinya tamat serta merta.
Semalam, Anwar mengumumkan bahawa Thailand dan Kemboja telah bersetuju dengan gencatan senjata tanpa syarat, susulan rundingan damai yang diadakan di Putrajaya.
PMX berkata gencatan senjata itu adalah antara persefahaman yang dicapai pada mesyuarat yang dihadiri Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai.
“ Kedua-dua pemimpin telah menyatakan pendirian dan kesanggupan mereka untuk gencatan senjata segera dan mengembalikan keadaan kepada normal,” kata Anwar semasa sidang media bersama kedua-dua pemimpin berkenaan.
AMERIKA SYARIKAT PUJI ANWAR
Susulan kejayaan rundingan damai itu, Amerika Syarikat (AS) tampil memuji peranan Anwar dalam usaha menjayakan rundingan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja itu.
“Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia atas kepimpinannya dan kejayaan menganjurkan rundingan gencatan senjata.
“Kami menggesa semua pihak untuk mematuhi komitmen mereka,” kata Setiausaha Negara AS Marco Rubio dalam satu kenyataan semalam.
Sehubungan itu, Rubio berkata, Presiden AS, Donald Trump komited untuk menghentikan keganasan serta-merta dan mengharapkan kerajaan Kemboja dan Thailand untuk menghormati komitmen mereka dalam menamatkan konflik.
Semasa sidang media selepas kejayaan rundingan damai, Manet dan Wechayachai mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam rundingan itu.
Manet juga mendakwa bahawa ketegangan antara negara jiran ASEAN itu telah menyebabkan kira-kira 300,000 orang kehilangan tempat tinggal – 140,000 dari Kemboja dan 160,000 dari Thailand.
Kedua-dua negara berjiran itu mempunyai sejarah panjang dalam pertikaian diplomatik melibatkan 817 kilometer sempadan yang belum ditanda sepenuhnya.
Ketegangan antara Thailand dan Kemboja mula memuncak sejak 28 Mei susulan pertempuran antara tentera kedua-dua negara berhampiran kawasan sempadan Preah Vihear yang dipertikaikan, mengakibatkan seorang anggota tentera Kemboja.
