Oleh: Sholina Osman
30 SEPT. 2024
Majlis Perbandaran Kangar (MPK) tampil sebagai jabatan terulung di Perlis menghargai kejayaan para atlet yang menyumbangkan pingat pada SUKMA 2024.
Berikutan itu, MPK menyerahkan sumbangan bernilai RM5,000 kepada para atlet ini pada satu majlis di Bilik Gunasama, Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di Persiaran Wawasan di Kangar.
Yang DiPertua MPK, Affendi Rajini Kanth menyerahkan cek replika sumbangan ini kepada Muhammad Hafizuddin Roslin yang mewakili atlet-atlet penyumbang pingat di SUKMA Sarawak 2024.
Hadir sama Exco Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan, Wan Zikri Afthar Ishak dan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis, Mohd Azraai Zain Tusimin.
Pada SUKMA 2024 lalu, kontinjen Perlis meraih 15 pingat emas, 12 perak dan 16 gangsa.
MERAIKAN KEJAYAAN ATLET
Affendi berkata, pihaknya berharap usaha meraikan kejayaan atlet malah juga dituruti oleh pihak lain di Perlis.
“Sepatutnya kita “pegang” para atlet ini dengan memberikan pelbagai insentif supaya mereka terus mara dengan pencapaian lebih cemerlang,” katanya pada sidang media.
Jelas Affendi, salah satu usaha termasuk memberikan pekerjaan supaya para atlet daat terus menetap di Perlis bagi menyumbangkan khidmat bakti menerusi sukan yang diceburi.
Beliau berkata, ia juga bagi mengelakkan atlet berhijrah ke negeri lain atas tawaran lebih baik sekaligus memberikan satu kerugian kepada negeri ini.
“MPK akan membuka peluang pekerjaan hanya untuk beberapa atlet dan diharap langkah ini juga disahut oleh agensi lain,” katanya.
Beliau berkata, semoga usaha bersama ini akan membolehkan Perlis terus melahirkan atlet yang hebat sehingga ke mata dunia.
Sementara itu, dua kakitangan MPK telah terlibat secara langsung di dalam SUKMA 2024 iaitu Norazizul Omar, Penolong Juruukur Bahan daripada Unit Perolehan, telah memainkan peranan penting sebagai Pengurus Pasukan Sepak Takraw Negeri Perlis.
Manakala Ku Azarul Ku Othman,
Pembantu Awam daripada Jabatan Khidmat Pengurusan, pula menjadi Jurulatih Angkat Berat Negeri Perlis. – JM