Oleh Noraini Nordin (Ulasan berita)
6 April 2024
Di sebalik pelbagai cemuhan terhadap kerajaan dan rungutan kononnya harga barang tinggi melambung, sambutan Hari Raya tahun ini ternampak tidak berkurang meriahnya.
Malah, kalau dilihat dalam beberapa aspek seperti ada syarikat penjual baju Melayu mampu meraih jualan lebih RM200 juta, pastinya sambutan kali ini lebih meriah kerana rakyat nampaknya mempunyai lebih banyak wang dalam poket masing-masing.
Saya sendiri sempat menjelajah beberapa, gedung membeli belah dan bazar yang menjual keperluan Hari Raya, boleh dikata mendapat sambutan yang menggalakkan sekali sejak awal Ramadan lagi.
Keghairahan pelanggan membeli pakaian baru di butik-butik hingga saya sendiri terpaksa menunggu lebih satu jam untuk mendapat giliran mencuba baju yang saya minati.
Selain itu, lihat pula lebuh raya, meskipun Hari Raya dijangka jatuh pada hari Rabu, tetapi kenderaan telah mula meningkat seawal Jumaat malam lagi.
Hari Sabtu (hari ini), jumlah kenderaan dilaporkan telah sesak di kebanyakan lebuh raya bermula sebelum tengahari lagi.
Menjelang Ahad, Isnin dan Selasa nanti, pastilah lebih banyak lagi kenderaan di jalan raya menuju kampung-kampung halaman untuk anak rantau kembali memeriahkan Hari Raya di tempat kelahiran masing-masing.
Tambah lagi dengan tol percuma pada Isnin dan Selasa, lagi seronok dan kurang stress pemanduan pemegang stereng kereta untuk menuju ke kampung mereka.
Pemberian tol percuma ini, meskipun ia bukan perkara baharu kerana telah diamalkan sejak beberapa tahun lalu lagi, meneruskan kebiasaan tersebut memperlihatkan keprihatinan kerajaan kepada rakyat tidak pernah berkurangan.
Memang tidak dinafikan ada kenaikan dalam harga barangan keperluan harian yang tertentu tetapi kerajaan pantas menanganinya dengan memperkenalkan Program Jualan Rahmah di seluruh negara.
Program yang menawarkan potongan harga barang antara 10 hingga 30 peratus itu bukan saja melibatkan Jualan Rahmah Aidiffitri, tetapi juga Jualan Rahmah Ramadan.
Jualan Rahmah Ramadan telah diadakan di 452 lokasi di seluruh negara bermula 12 Mac hingga 3 April, manakala Jualan Rahmah Aidilfitri diadakan bermula 4 hingga 9 April di 302 lokasi terpilih.
Maknanya, sejak menyambut puasa lagi kerajaan telah membantu rakyat untuk mendapatkan harga rendah bagi barangan keperluan seharian.
Apabila harga barang boleh diperolehi dengan harga murah, ertinya rakyat mempunyai lebihan wang dalam saku mereka dan siapa pun yang mempunyai lebih wang dalam poket, pasti hatinya lebih gembira.
BAYARAN INSENTIF AWAL
Lebih daripada itu, bagi kakitangan kerajaan pula, selain diberi bayaran insentif awal berjumlah RM2000 pada 23 Februari lalu, menjelang Hari Raya ini mereka diberi lagi duit raya sebanyak RM500.
Tambah meriah jika suami isteri merupakan kakitangan kerajaan, ada pula anak seorang dua yang turut merupakan penjawat awam.
Pokoknya, dengan segala kebaikan Kerajaan Madani ini, sambutan Hari Raya tahun ini boleh dikata jauh lebih meriah dan bermakna bagi kebanyakan orang berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat