(Petikan bahan/Foto FB Fadhlina Sidek)
Saya dan rakan-rakan pengurusan tertinggi KPM meraikan anak-anak “Si Burung Kecil” dan para pengamal media dalam satu majlis berbuka puasa melibatkan 550 orang khalayak, bertempat di Dewan Kompleks Seri Bintang, Kuala Lumpur, semalam.
Bagi masyarakat di Malaysia, puasa menjadi suatu amalan ibadah, sekali gus budaya yang diraikan secara bersama dengan penuh kemeriahan.
Anak-anak kecil di negara kita diajar dan dilatih untuk berpuasa sejak usia awal, ketika masih di bangku sekolah.
RUTIN HARIAN YANG SAMA
Anak-anak kita tetap melalui rutin harian yang sama dalam bulan Ramadan ini – setiap hari pergi ke sekolah, petangnya beriadah, malamnya solat berjemaah dan tarawih, kemudian beristirahat dan keesokan harinya mengulangi rutin yang sama.
Rutin harian terus dijalankan, dalam masa yang sama, anak-anak kita berlatih perlahan-lahan untuk berpuasa, menahan lapar dan dahaga.
Sebagaimana disinggung oleh da’i, tokoh pendidikan dan aktivis sosial, Abdullah Nasih Ulwan dalam karyanya, “Tarbiyatul Awlad fi Islam” yang memberikan penekanan betapa pentingnya peranan ibu bapa dalam memulakan percambahan benih tauhid serta pendedahan kefahaman tentang ibadah kepada anak-anak, dan semua pembelajaran ini bermula dari rumah.
Di sekolah, guru-guru membantu melanjutkan kefahaman akidah dan ibadah yang telahpun tersemai dari rumah.
Inilah keadaannya “puasa Si Burung Kecil”, dan kita yang dewasa pernah mengalaminya.
BERLATIH BERPUASA
Maka, iftar kali ini, saat giliran anak-anak kita berlatih puasa pula, maka menjadi kewajaran untuk kita meraikan mereka.
Sedar atau tidak, budaya dan tradisi puasa “Si Burung Kecil” di negara kita sejak zaman-berzaman inilah yang menjadikan Ramadan di negara kita sangat menarik.
Kita menunaikan ibadah puasa Ramadan tanpa mengadu letih dan lelah; kita bertahan dengan bersahaja tanpa merengek lapar mahupun dahaga; kita menunaikan ibadah puasa sebagai tanda meraikan perintah Tuhan dengan kerelaan dan kegembiraan.
Oleh yang demikian, program “Iftar Si Burung Kecil” ini kita anjurkan secara bersama dengan ABIM dan FGV merupakan suatu program khusus bagi meraikan anak-anak kecil yang sedang belajar berpuasa ini.
Program ini adalah suatu kaedah memberikan pengiktirafan kepada kanak-kanak yang belajar berpuasa, sebagai suatu tuntutan ibadah seorang Muslim.
Walaupun anak-anak kecil ini belum lagi diwajibkan berpuasa, namun kegigihan mereka selaku “Si Burung Kecil” untuk belajar berpuasa harus dihargai.
Dalam masa yang sama, wajar untuk kita beringat bahawa para ibu bapa juga perlu difahamkan tentang betapa pentingnya mengaturkan pemakaman anak-anak dengan gizi seimbang dan aturan terbaik dalam bulan puasa memandangkan berlaku perubahan dalam rutin pemakanan anak-anak kita.
Dalam kesempatan ini juga, saya rakamkan ucapan tahniah kepada anak-anak “Si Burung Kecil” ini, yang pastinya diasuh oleh ibu bapa dan dididik oleh para guru – mampu tampil menyampaikan persembahan kreatif perihal Hadis 40 Imam Nawawi dan membacakan hadis serta dengan konsisten menyahut seruan solidariti Palestin yang kita inisiatifkan selama ini.
PERJUANGAN DI KPM
Inilah yang sebenarnya menjadi perjuangan kita di KPM, sesuai dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, hasrat kita memberikan akses pendidikan seluas-luasnya kepada kesemua anak-anak Malaysia agar tiada yang keciciran, seterusnya menzahirkan pendidikan sebagai suatu proses yang manusiawi, melindungi dan mempertahankan karamah insaniah (kemuliaan insan) serta membangunkan “otak dan watak” anak-anak kita secara seimbang merangkumi unsur jasmani, emosi, rohani, spiritual dan intelek (J.E.R.S.I).
Dalam iftar yang sama, kami turut meraikan pengamal media yang menjadi wahana penyebar fikrah rakyat. Moga terus konsisten dengan etika pengamal media dan praktis pelaporan terbaik suara rakyat.
Selamat berpuasa untuk tempoh berbaki 10 hari lagi! Semangat ya! 🥰❤️
#IftarSiBurungKecil
#FadhlinaSidek
#KaramahInsaniah
#PendidikanManusiawi
#MalaysiaMADANI