Oleh Noraini Nordin (Analisis Berita)
Sebalik riuh-rendah yang tidak berkesudahan kononnya Kerajaan Perpaduan akan dijatuhkan pada beberapa tarikh yang berubah-ubah, seorang lagi Ahli Parlimen PN mengumumkan sokongan terbukanya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kali ini giliran Ahli Parlimen Tanjung Karang, Zulkafperi Hanapi yang berbuat demikian.
Zulkafperi berkata, keputusannya menyokong PMX Anwar adalah untuk memastikan nasib dan pembangunan penduduk di Parlimen yang diwakilinya terus terbela.
“Pengisytiharan sokongan ini adalah tanpa sebarang paksaan dan tekanan daripada mana-mana pihak dan saya lakukan dengan sepenuh hati untuk kepentingan penduduk Tanjung Karang.
“Sokongan kepada Perdana Menteri dan dasar serta inisiatif kerajaan Madani yang mengutamakan kebajikan, pembangunan, ekonomi dan kepentingan rakyat ini juga adalah sehingga pilihan raya umum akan datang,” katanya pada satu kenyataan.
Bermakna kini sudah enam Ahli Parlimen PN menyokong kepimpinan Anwar di mana sebelum ini lima orang telah mengumumkan sokongan mereka iaitu Syed Abu Hussin Hafiz (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) serta Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Seterusnya juga ini menjadikan sokongan yang dimiliki Anwar dan kerajaan Madani bertambah teguh dengan memiliki kekuatan 154 Ahli Parlimen di belakangnya.
Manakala blok pembangkang pula dengan sendirinya makin mengecil dan sempit dengan kekuatan dengan hanya tinggal 68 Ahli Parlimen sahaja lagi yang bersama mereka.
Dengan perkembangan terbaru ini, ia bukan sahaja memperlihatkan Anwar semakin teguh dan kukuh untuk terus menerajui negara ini, malah memperlihatkan bertambahnya keyakinan di kalangan Ahli Parlimen terhadap kepimpinan PMX.
Petunjuk ini pastinya membuatkan rakyat tambah selesa untuk terus bersama dengan kerajaan bagi memastikan negara dipacu dengan lebih baik menuju masa depannya yang gemilang.
Paling penting dengan bertambahnya sokongan ini ialah gembar-gembur berkenaan pertukaran kerajaan semakin tertolak ke tepi dengan sendirinya.
Tiada kewajaran dan tiada keabsahan lagi untuk sesiapa pun mempercayai cerita-cerita tukar kerajaan ini.
Bagaimana kumpulan yang makin mengecil dan sempit ini mahu terus menjaja logik menjatuhkan kerajaan yang kian bertambah sokongannya?
Ia bukan saja sudah menjadi cerita khayalan dan karut, bahkan kini boleh dicop sebagai cerita dongeng yang tidak mungkin lagi menjadi kenyataan.
Cerita benar dan nyata ialah kerajaan Madani akan kekal menerajui negara sehingga habis penggal iaitu sehingga tibanya PRU16 akan datang.
Dan begitu iuga untuk penggal-penggal yang mendatang.
Sekali lagi diperingatkan. Jika kalian benar-benar sayangkan rakyat ayuh bersama PMX menjulang Malaysia Madani dengan cemerlang.
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat