YBM = YANG BAKAR MENTERI

(Petikan FB Rafizi Ramli)

Satu ancaman terbesar kepada usaha negara kita ialah berleluasanya budaya menyebarkan pembodohan yang kini diperturunkan kepada rakyat biasa yang meletakkan diri mereka sebagai pempengaruh.

Dengan adanya platform media sosial (terutamanya Tiktok), mereka berleluasa menyebarkan fitnah dan pembohongan. Mereka akan memainkan sentimen demi sentimen yang tidak memberikan gambaran dan perspektif sebenar, yang akhirnya memesongkan kefahaman rakyat mengenai satu-satu perkara.

Apabila ditanya di Parlimen, pemimpin politik mereka sendiri tidak boleh menjawab. Saya selalu bertanya kepada ahli-ahli Parlimen PN tentang ukuran ekonomi yang mereka gunakan sebagai bukti kepada dakwaan mereka ekonomi telah merudum. Mereka tergagap-gagap dan tersipu-sipu seperti kerengga yang lari bertempiaran.

Satu perkara yang tidak disedari ialah budaya menyebarkan pembohongan sewenang-wenangnya seperti ini sebenarnya mendedahkan ramai rakyat Malaysia kepada tindakan undang-undang.

Sesiapa yang menyebarkan perkara fitnah sebegitu, boleh diambil tindakan di bawah Kanun Keseksaan jika ada laporan polis dibuat. Mereka juga boleh disaman secara sivil.

Lebih berbahaya, netizen yang membuat komen kepada kandungan-kandungan pempengaruh ini, yang menambah lagi pembohongan dan kebencian, juga boleh diambil tindakan undang-undang.

Akhirnya, seperti lazimnya, ramai walaun-walaun yang terdedah mati katak dalam perjuangan sedangkan pimpinan mereka kaya-raya dengan kereta besar, pangkat dan pencen mereka.

Budaya ini berbahaya dan ramai pempengaruh ini merasakan mereka boleh berselindung menggunakan nama samaran. Contohnya, seorang yang kerjanya mencarut dan memaki hamun saban hari di Tiktok tetapi menganggap dirinya wakil rakyat. Namanya YB Viral.

Saya berpandangan budaya ini perlu ditangani. Cara menanganinya adalah supaya pimpinan politik seperti saya berdepan sendiri dengan rakyat dalam satu sesi untuk menjawab dan bertanya. Rakyat tanya saya jawab, saya tanya kepada rakyat (untuk berkongsi pemahaman), maka wajarlah rakyat jawab.

Tetapi dengan syarat janganlah berselindung di belakang identiti digital yang disalahguna untuk mencipta pembohongan. Bila berdepan dengan identiti sendiri, bersedialah untuk disaman dan diambil tindakan undang-undang jika ada fitnah yang dibuat.

Eksperimen pertama ialah kepada seorang pempengaruh PN iaitu YB Viral.

Pejabat saya telah menghantar surat dan dia juga boleh baca surat ini dengan terbuka. Jika dia berani tampil dengan mengisi borang maklumat peribadinya dan mengembalikan borang ke pejabat saya, Insya-Allah saya bagi ruang seluasnya untuk dia bakar saya dan buktikan saya menteri paling bodoh, seperti yang dijerit-jeritnya selama ini.

Netizen boleh semak surat jemputan kepada YB Viral di sini: https://bit.ly/YangBakarMenteri

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *