ROMBAKAN KABINET PERKUKUH LAGI KERAJAAN PERPADUAN

Oleh Noraini Nordin (Ulasan berita)

Setelah sekian lama berteka-teki dan ramai pula ternanti-nanti, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi tadi mengumumkan rombakan kabinet Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya.

Ini adalah rombakan kabinet yang pertama dilakukan Anwar sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022 yang lalu.

Secara umumnya rombakan kabinet yang dilakukan ini adalah bertujuan memperkukuhkan lagi Kerajaan Perpaduan serta memperlihatkan langkah persiapan menghadapi cabaran baru global yang semakin mencabar.

Paling menjadi perbualan berkaitan rombakan ini tentunya tentang perlantikan Datok Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Menteri Kewangan Kedua.

Sebagai bekas CEO KWSP dan berpengalaman menerajui pelbagai entiti korporat ternama sebelum ini, pengalaman beliau memang amat penting dalam membantu Anwar selaku Menteri Kewangan menguruskan ekonomi negara.

Gandingan Anwar dan Amir Hamzah boleh dikira regu yang mantap dan saling lengkap melengkapi untuk tujuan memacu ekonomi serta menghadapi pelbagai cabaran mendatang berkaitan kewangan dan memastikan rakyat sentiasa ada wang dalam poket masing-masing.

Dengan adanya Amir Hamzah selaku Menteri Kewangan Kedua juga, maka tiada lagilah rungutan selepas ini bahawa tiada menteri sepenuh masa menguruskan kementerian tersebut.

Anwar selepas ini tiada masalah lagi untuk terus melangkah jauh mempromosi negara di arena antarabangsa serta menjadi “jurujual” bagi menarik lebih banyak pelaburan asing dengan menjelajah ke seluruh dunia.

Selain itu, tindakan Anwar membawa tiga bekas menteri – Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Haji Dr DZulkefly Ahmad dan Gobind Singh Deo jelas bertujuan memantapkan lagi kedudukan kabinet sedia ada.

Sebelum ini sering dipertikaikan tentang kedudukan kabinet yang tidak cukup kukuh kerana ramai yang dianggap tidak berpengalaman dilantik sebagai menteri.

Dengan adanya Johari, Dr Zulkifly dan Gobind yang pernah memegang jawatan menteri sebelum ini, ia secara tidak langsung memperlihatkan kabinet semakin kukuh dan memberi lebih keyakinan kepada rakyat.

Tidak kurang pentingnya ialah tindakan Anwar memecahkan beberapa kementerian dengan fungsi yang lebih khusus dilihat amat baik dan bersesuaian untuk menghadapi cabaran mendatang.

Dua kementerian yang dipecahkan ialah pertama – Kementerian Komunikasi dan Digital menjadi Kementerian Komunikasi diterajui Fahmi Fadzil serta Kementerian Digital diterajui Gobind Singh Deo serta kedua – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang kini dipisahkan menjadi Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam (menterinya Datuk Sri Fadillah Yusof) dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad).

Memecahkan dua kementerian tersebut menjadi empat memperlihatkan tentang keseriusan Anwar untuk menghadapi cabaran komunikasi dan kepesatan dunia digital serta berkaitan penggunan tenaga hijau dan perubahan iklim yang kini merupakan isu penting di seluruh dunia.

Semua cabaran kritikal itu kini dijaga oleh sebuah kementerian yang khusus dan ini adalah suatu langkah yang menunjukkan Perdana Menteri sentiasa bersikap respon terhadap perkembangam semasa dunia.

Dalam pada itu, keputusan lain yang dilakukan Anwar, sama ada mengekalkan atau menukar beberapa menteri ke kementerian baru, semuanya dilakukan dengan tujuan memantapkan lagi kedudukan kerajaan.

Sudah tentu pertukaran dan pengekalan mereka itu berdasarkan pertimbangan Anwar untuk memastikan Kerajaan Perpaduan ini sentiasa tampil lebih baik dan lebih berkesan di mata rakyat.

Secara keseluruhannya, rombakan ini adalah untuk keseimbangan dan bertujuan memenuhi tuntutan semasa negara serta memastikan rakyat beroleh nikmat yang kesejahteraan yang maksimum di masa-masa akan datang.


Penulis juga adalah Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat merangkap Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *