Oleh Noraini Nordin
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, kemudahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan di Telupid, Sabah telah mula ditambah baik bagi memberi lebih kesejahteraan kepada seluruh warga sekolah berkenaan.
KPM dalam satu kenyataan berkata, kerja pembinaan melibatkan blok akademik dan pentadbiran serta kemudahan lain termasuk pembelian perabot sedang rancak berjalan.
“Pembinaan empat unit kuarters baru di SK Ulu Ansuan juga telah diluluskan semasa pembentangan Belanjawan 2024 yang lalu.
“Kesemua projek penambahbaikan dan kemudahan di SK Ulu Ansuan melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM12.5 juta,” jelas kenyataan itu lagi.
KPM mengeluarkan kenyataan ini berikutan video tular mengenai guru besar sekolah berkenaan yang terpaksa tidur di bilik stor selama lebih tiga tahun sepanjang bertugas kerana sekolah tidak mempunyai kediaman.
Bagi penyelesaian jangka pendek kediaman guru di sekolah itu pula, KPM berkata, pihaknya telah siap melaksanakan projek selenggara kuarters di sekolah terbabit dengan peruntukan sebanyak RM200,000.
Dalam pada itu, KPM menjelaskan, mereka akan terus bertekad menambah baik kemudahan di semua sekolah di seluruh negara yang memerlukan perhatian bagi memastikan kesejahteraan, keselamatan dan kebajikan guru, murid serta seluruh warga sekolah sentiasa terpelihara.