Oleh Noraini Nordin
Di sebalik kritikan Pas yang menyifatkan kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim “tidak cukup kuat” dalam memperjuangkan isu Palestin, hakikat yang terbentang di depan mata adalah nyata berbeza.
Penegasan kerajaan Malaysia yang dizahirkan oleh Anwar berkaitan isu Palestin sejak konflik terbaru memuncak di Semenanjung Gaza sebenarnya amat membanggakan.
Di dalam dan di luar negara, Anwar sentiasa menunjukkan sikap tegas dalam membela rakyat Palestin, bahkan turut pantas dalam menghulurkan bantuan kewangan kepada mereka.
Ketika membentangkan Belanjwan 2024 di Parlimen, beliau yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pelancaran tabung kemanusiaan bagi menampung serta membantu warga Palestin dengan dana awal daripada kerajaan sebanyak RM10 juta.
Melalui inisiatif tersebut, pelbagai pihak kemudianya turut menghulurkan bantuan sehingga dalam masa yang singkat sahaa sejumlah RM81 juta berjaya dikumpulkan.
Jumlah itu menghampiri sasaran yang dimatlamatkan sebanyak RM100 juta.
Sebelum itu, dalam ucapannya di Parlimen, Anwar juga dengan tegas mengutuk serangan Israel terhadap Palestin dan menggesa peperangan segera dihentikan.
Katanya, Malaysia sentiasa bersolidariti dengan perjuangan saudara seIslam di Gaza dalam mempertahankan wilayah mereka.
Beliau turut menerima panggilan telefon daripada Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh dan menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin.
Anwar berkata, beliau menyokong gesaan untuk menghentikan segera pengeboman Israel di Gaza serta mencadangkan penubuhan koridor kemanusiaan di Rafah, Mesir.
Seterusnya ketika berada di Riyadh antara 19-21 Oktober kerana menghadiri Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama Teluk (GCC) – ASEAN, Anwar sekali lagi memberi penegasan yang konsisten berkaitan isu Palestin.
Menurut Perdana Menteri, adalah penting prinsip dan hukum antarabangsa mesti diperteguh selain mengecam kemunafikan komuniti antarabangsa terhadap pencabulan hak asasi manusia dan pembantaian ke atas warga Palestin.
Malaysia juga, tegas beliau, menekankan rakyat Palestin mesti dikembalikan haknya, diiktiraf hak kenegaraannya, dan juga mengakui sempadan pra-1967 dengan Jerusalem Timur sebagai ibu negara.
Anwar mengulangi gesaan agar koridor bantuan kemanusiaan wajar segera digerakkan bagi memudahkan kemasukan bantuan makanan dan perubatan.
Dalam kenyataan bersama GCC-ASEAN kemudiannya, mereka mengutuk semua serangan terhadap orang awam, dan menggesa semua pihak dalam konflik supaya melindungi orang awam, mengelak daripada mensasarkan mereka, dan mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa, terutama prinsip dan peruntukan Konvensyen Geneva Berkaitan Perlindungan Orang Awam pada Masa Perang 12 Ogos 1949.
Mereka turut menggesa pembebasan segera dan tanpa syarat tebusan dan tahanan awam, terutama wanita, kanak-kanak, orang sakit dan warga tua, menurut kenyataan bersama yang disediakan di laman sesawang Saudi Press Agency (SPA).
Selanjutnya, atas nama kemanusiaan, digesa agar gencatan senjata yang berkekalan diwujudkan di Gaza.
Ketika di Riyadh juga, Anwar juga mengadakan perbincangan dengan Liga Muslim Sedunia berkaitan konflik di Palestin.
Perbincangan dengan Setiausaha Agung Liga Muslim Sedunia, Sheikh Muhammad Abdulkarim Al-Issa itu antaranya melibatkan isu serangan terhadap Palestin dan kesepakatan yang harus diambil pimpinan negara-negara Islam dan rangkaian ulama sedunia berhubung konflik itu.
Pokoknya, baik di dalam negara dan di luar negara, melalui suara Perdana Menteri, gema Malaysia sentiasa bergetar bersama rakyat Palestin.
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat merangkap Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat.