
LABUAN, 7 November – Penganjuran Test & Tune: Labuan Motorsport Festival 2026 berpotensi menjadi tarikan pelancongan sukan permotoran baharu sekali gus merancakkan ekonomi penduduk setempat.
Festival julung kali yang berlangsung di Kiansam sejak 4 November itu berjaya menarik hampir 200 peserta dari Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia dan Brunei Darussalam, melibatkan kategori motosikal dan kereta.
Pengerusi Majlis Penasihat GIATMARA Labuan, Datuk Mohd Rafi Datuk Alli Hassan berkata, penganjuran seumpama itu wajar diperluas kerana berupaya menarik lebih ramai peminat sukan permotoran dari dalam dan luar negara.
Menurutnya, kedudukan strategik Labuan turut menjadi kelebihan untuk menjadikan pulau itu sebagai destinasi pilihan bagi penganjuran acara berkenaan.
Beliau berharap festival itu dapat dikembangkan sebagai produk pelancongan baharu yang bukan sahaja meningkatkan kunjungan pelawat, malah membuka peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.
