




9 November 2026
(Sorotan Khas PRN Melaka ke-16 – Apa Kerajaan MADANI bantu orang Melaka )
PANTAI SIRING – Bagi nelayan di Pantai Siring, Melaka, laut bukan sekadar hamparan air yang terbentang luas. Di situlah sumber rezeki, tempat mereka mempertaruhkan tenaga dan masa, serta harapan untuk memastikan keluarga terus mempunyai pendapatan setiap hari.
Namun, kehidupan mereka kini berdepan cabaran yang semakin meruncing apabila masalah muara cetek dan berlumpur menyukarkan bot keluar masuk ke laut, sekali gus mengehadkan masa untuk menangkap ikan.
Bagi nelayan kecil, detik yang terbuang bukan sekadar kehilangan masa, tetapi peluang mendapatkan hasil tangkapan yang menjadi sumber rezeki keluarga.
Lebih 50 nelayan dan pengusaha bot pelancong terjejas akibat keadaan muara di kawasan jeti berkenaan. Lebih 40 bot berdaftar, termasuk bot nelayan dan bot penumpang ke Pulau Besar, turut berdepan masalah pergerakan.
Angka itu menggambarkan betapa besar kesan keadaan muara terhadap komuniti yang bergantung kepada aktiviti perikanan dan pengangkutan laut.
MASA KE LAUT SEMAKIN TERHAD
Masalah muara cetek bukan isu kecil bagi nelayan Pantai Siring.
Apabila air surut, bot sukar bergerak kerana laluan keluar dipenuhi mendapan lumpur. Ada kalanya nelayan terpaksa menunggu air pasang sebelum dapat membawa bot ke kawasan tangkapan.
Dalam temu bual penulis di Jeti Nelayan Pantai Siring dengan nelayan yang mahu dikenali sebagai `Mad’, beliau membangkitkan kesukaran tersebut dan berharap isu tersebut dapat diatasi.
“ Menunggu air pasang untuk ke laut satu ujian bagi kami. Masa yang berharga terbuang apabila paras air cetek. Ada waktunya menunggu sehingga lebih sejam ,’’ katanya.
Keadaan itu jelas beliau lagi, memberi kesan langsung kepada hasil tangkapan dan pendapatan harian.
Nelayan tidak boleh menentukan sendiri bila mereka mahu turun ke laut. Mereka perlu menyesuaikan perjalanan dengan keadaan air, cuaca dan laluan muara.
Dalam keadaan kos minyak, penyelenggaraan bot, peralatan menangkap ikan dan keperluan keluarga terus perlu ditanggung, masa yang terhad untuk bekerja menambahkan lagi tekanan kehidupan mereka.
BUKAN BANJIR SAHAJA, HAKISAN PANTAI TURUT MENGANCAM
Selain masalah muara, kawasan Pantai Siring turut berdepan cabaran hakisan pantai dan limpahan air laut ketika fenomena air pasang besar.
Isu limpahan air laut dilaporkan menjejaskan kawasan ekonomi berhampiran, termasuk kawasan ternakan udang dan pertanian.
Keadaan ini menunjukkan komuniti pesisir bukan sahaja terdedah kepada perubahan keadaan laut, malah perlu berhadapan risiko kerosakan kawasan pantai dan gangguan kegiatan ekonomi.
Apa yang jelas, perubahan keadaan pesisir dan laluan bot telah memberi tekanan kepada kegiatan harian komuniti nelayan.
BANTUAN NELAYAN PERLU SAMPAI KEPADA MEREKA YANG MEMERLUKAN
Dalam usaha membantu golongan nelayan, Kerajaan MADANI turut menyediakan pelbagai bentuk sokongan melalui agensi berkaitan.
Antaranya Elaun Sara Hidup Nelayan sebanyak RM300 sebulan kepada nelayan laut yang memenuhi syarat kelayakan, termasuk memiliki lesen sah dan memenuhi ketetapan aktiviti menangkap ikan.
Bantuan peralatan turut disalurkan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), termasuk enjin sangkut, pukat, tong ikan berinsulasi dan minyak pelincir.
Bantuan seperti ini amat bermakna kerana dapat mengurangkan sebahagian kos operasi dan membantu nelayan meneruskan pekerjaan.
PENYELESAIAN MASALAH INFRASTRUKTUR
Namun, bantuan sara hidup dan peralatan perlu bergerak seiring dengan penyelesaian masalah infrastruktur.
Nelayan mungkin mempunyai bot, pukat dan enjin yang baik, tetapi semua itu tidak banyak membantu jika bot tidak dapat keluar dari muara untuk menangkap ikan.
MEREKA MAHU TERUS BEKERJA, BUKAN BERGANTUNG KEPADA BANTUAN
Bagi komuniti nelayan Pantai Siring, harapan terbesar bukan sekadar menerima bantuan kewangan atau peralatan.
Mereka mahu kembali bekerja dengan lebih mudah, turun ke laut tanpa terpaksa menunggu terlalu lama dan pulang membawa hasil tangkapan yang mampu menyara keluarga.
Keperluan itu wajar diberi perhatian kerana kelangsungan hidup nelayan turut berkait dengan bekalan makanan, ekonomi setempat dan kehidupan masyarakat pesisir.
