PELABURAN ASING PACU BRAIN GAIN, BUKA LEBIH BANYAK PELUANG KERJAYA BERGAJI TINGGI – FAHMI

DOHA, 8 NOVEMBER 2026 – Peningkatan pelaburan asing ke Malaysia berpotensi membuka lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, sekali gus membantu mengubah fenomena penghijrahan tenaga mahir atau brain drain kepada brain gain.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keyakinan pelabur antarabangsa terhadap kestabilan politik, tadbir urus dan prospek ekonomi negara mampu menjadi pemangkin kepada usaha menarik rakyat Malaysia di luar negara untuk kembali menyumbang kepakaran serta pengalaman mereka kepada tanah air.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan bersama diaspora Malaysia di Doha, Qatar.

Menurut Fahmi, ketika ini terdapat kira-kira 6,200 rakyat Malaysia menetap di Qatar yang bekerja dalam pelbagai sektor industri serta melanjutkan pengajian.

PENINGKATAN PELABURAN

Dalam pertemuan itu, beliau turut berkongsi bagaimana peningkatan pelaburan berkualiti mampu menyediakan peluang pekerjaan dengan kadar pendapatan lebih tinggi, sekali gus meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi kerjaya bagi golongan profesional dan tenaga mahir.

Sebagai contoh, komitmen pelaburan Google bernilai RM60.9 bilion dijangka mewujudkan sebanyak 30,000 peluang pekerjaan baharu dengan kadar gaji 45 peratus lebih tinggi berbanding median nasional.

Perkembangan itu mencerminkan potensi pelaburan strategik dalam memperkukuh pasaran pekerjaan negara, meningkatkan pendapatan rakyat serta mewujudkan persekitaran ekonomi yang lebih kompetitif.

Fahmi berkata, keyakinan terhadap hala tuju ekonomi negara perlu terus diperkukuh agar rakyat Malaysia di perantauan melihat peluang untuk kembali berkhidmat dan menyumbang kepada pembangunan tanah air.

Usaha mengubah brain drain kepada brain gain bukan sahaja memerlukan peluang pekerjaan yang berkualiti, malah menuntut persekitaran ekonomi yang stabil serta mampu menghargai kepakaran dan pengalaman tenaga profesional tempatan.

Sumber: FB Datuk Seri Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *