ECRL ANGKAT KUALA LUMPUR SEBAGAI DESTINASI TERBAIK DUNIA 2027

KUALA LUMPUR, 2 November – Kuala Lumpur tersenarai dalam “Best Places to Go in 2027” terbitan Frommer’s, susulan penambahbaikan infrastruktur pengangkutan, khususnya projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Ketua Pengarang Frommer’s, Jason Cochran berkata, pembangunan ECRL yang menghubungkan Lembah Klang dengan pantai timur Semenanjung Malaysia menjadikan negara ini lebih mudah diterokai pelancong antarabangsa.

Laluan sepanjang 665 kilometer itu menghubungkan Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) Gombak dengan Kota Bharu, Kelantan, sekali gus memendekkan tempoh perjalanan kepada kira-kira empat jam.

Selain kemudahan pengangkutan, Kuala Lumpur turut menjadi tarikan menerusi pembangunan bandar moden, kepelbagaian budaya serta mercu tanda ikonik seperti Merdeka 118 dan Menara Berkembar PETRONAS.

Pengiktirafan Frommer’s itu mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan antarabangsa yang menawarkan gabungan pengalaman bandar moden, warisan sejarah dan penerokaan alam semula jadi.

Frommer’s merupakan jenama panduan pelancongan antarabangsa yang diasaskan pada 1957 dan terkenal menerusi penerbitan buku panduan serta platform media digital. -BERNAMA

beritaterkini

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *