
KUALA LUMPUR, 3 November – Isu mendapatkan semula bayaran projek Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) dan Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP), selain langkah memperketat keselamatan sempadan negara, menjadi antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Dalam Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, Datuk Jonathan Yasin (GRS-Ranau) meminta penjelasan kerajaan berhubung usaha mendapatkan semula RM8.3 bilion yang telah dibayar bagi kedua-dua projek berkenaan, meskipun kemajuan kerja dilaporkan hanya 13 peratus.
Turut dibangkitkan ialah kelemahan penyelarasan agensi penguatkuasaan dalam menangani penyeludupan dadah dan barangan terlarang melalui pintu masuk negara, khususnya di KLIA dan Lapangan Terbang Subang.
Persidangan turut menyentuh isu projek sakit, akauntabiliti syarikat dan agensi kerajaan yang mengalami kerugian, perubahan klasifikasi filem PG18 serta keupayaan MCMC membanteras aktiviti perjudian dalam talian.
Selepas sesi soal jawab, Dewan Rakyat meneruskan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan 2027) di peringkat Jawatankuasa melibatkan Kementerian Kewangan dan Kementerian Luar.
Perbahasan peringkat jawatankuasa itu dijadual berlangsung sehingga 26 November ini.
