
KUALA LUMPUR, 30 Oktober – Kerjasama strategik antara kerajaan dan industri terus diperkukuh bagi meningkatkan standard Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) negara ke tahap antarabangsa menerusi Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2026-2030 (OSHMP30).
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, pelan berkenaan menjadi kerangka strategik dalam mewujudkan persekitaran kerja yang selamat, sihat, berdaya tahan dan inklusif.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Negara 2025 yang menyaksikan 35 individu dan organisasi menerima pengiktirafan daripada 346 penyertaan.
Majlis anjuran bersama Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia itu turut disertai lebih 70 delegasi antarabangsa daripada Pertubuhan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Asia-Pasifik (APOSHO).
Kehadiran delegasi berkenaan mencerminkan komitmen Malaysia dalam memperluas kerjasama dan jaringan KKP di peringkat global.
