



TEKNOLOGI MAKIN CANGGIH, TAPI JANGAN MINDA MAKIN TERTAWAN
12 Oktober 2026
(Ulasan berita)
Ketika ini hampir semua orang terlihat ghairah bercakap mengenai AI atau kecerdasan buatan bagi banyak urusan pekerjaan.
Dikatakan dengan menggunakan AI, banyak urusan jadi lebih mudah, menjimatkan masa dan keputusan dibuat akan jadi lebih tepat.
Tetapi, sementara kedatangan teknologi baharu seperti AI bukan sahaja sukar ditolak, bahkan wajar diterima seadanya, apakah A1 benar-benar bermanfaat kepada kehidupan manusia?
Timbalan Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar ada pandangan tersendiri mengenai perkara tersebut.
Beliau berkata, negara ini memang mahu anak-anak muda Malaysia bersedia menghadapi dunia kerja yang semakin dipengaruhi AI.
Tapi βbersediaβ itu katanya, tidak sepatutnya bermaksud hanya tahu menggunakan alat yang dibina oleh orang lain.
βKita mahu mereka tahu berfikir, bertanya dan membezakan antara maklumat yang benar dengan jawapan yang βkedengaran meyakinkanβ.
βSecanggih mana pun teknologi, pertimbangan manusia tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepadanya.
βAI membuka begitu banyak kemungkinan. Tetapi dalam keterujaan kita mengejar teknologi baharu, kita juga perlu bertanya: siapa yang membinanya, data siapa yang digunakan, nilai siapa yang tertanam di dalamnya, dan siapa yang akhirnya mendapat manfaat?,β kata beliau.
Sebab itu bagi Nurul Izzah, kita perlu lebih yakin membawa kerangka nilai kita sendiri di sebalik teknologi AI yang semakin berkembang ketika ini.
βMaqasid al-Shariah, misalnya, ujar Nurul Izzah, mengajar kita untuk melihat kemajuan bukan hanya pada kecekapan, tetapi pada apa yang dilindungi – nyawa, akal, maruah, harta dan generasi akan datang.
βSyed Hussein Alatas pernah mengingatkan kita tentang βminda tertawanβ – minda yang hanya meniru, menerima dan meminjam tanpa cukup bertanya,β ujarnya.
Menurut Nurul Izzah lagi, biarlah teknologi terus maju, tanpa fikiran kita kehilangan kemerdekaannya.
βKita mahu generasi yang bertanya. Institusi yang membina. Dan sebuah negara yang yakin dengan fikirannya sendiri.
βBiar anak Malaysia menjadi tuan kepada teknologi, dan hamba hanya kepada Tuhan. Insya-Allah,β tegasnya dengan kata-kata penuh makna.
Daripada apa yang disebutkan Nurul Izzah itu, sementara AI mungkin bermanfaat, tetapi yang lebih berguna dan tidak harus ditingggalkan ialah hendaklah sentiasa menggunakan akal fikiran yang dianugerahkan Allah dan seterusnya meletakkan diri kira sebagai hamba kepada Yang Maha Kuasa.
