PEMBELIAN BERSYARAT BARANG KAWALAN, KPDN SERBU PASAR RAYA

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)
melalui Bahagian Penguat Kuasa KPDN Putrajaya telah menjalankan
pemeriksaan dan mengambil tindakan terhadap sebuah pasar raya di
Semenyih, Selangor susulan aduan berkaitan tindakan mengenakan
syarat bagi pembelian minyak masak peket satu kilogram (1kg).

Aduan yang diterima mendakwa pengguna yang ingin membeli satu kotak
minyak masak peket 1kg berjumlah 17kg diwajibkan membuat pembelian
barangan lain di pasar raya berkenaan dengan nilai sekurang-kurangnya
RM300.00.

Bertindak atas aduan tersebut, sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN
telah menjalankan uji beli secara penyamaran dengan berpakaian
preman di premis berkenaan.

Hasil uji beli mendapati pegawai turut
dikenakan syarat untuk membuat pembelian barangan lain sebelum
dibenarkan membeli minyak masak peket tersebut.

Dalam uji beli berkenaan, pembelian barangan lain berjumlah RM303.65
telah dibuat sebelum pegawai dibenarkan membeli 17 peket minyak
masak 1kg pada harga keseluruhan RM42.50.

Transaksi dan kejadian
tersebut turut dirakam bagi membantu siasatan.

KPDN telah membuka satu kes untuk siasatan di bawah Seksyen 19 Akta
Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] kerana disyaki mengenakan syarat
dalam urusan penjualan barang kawalan berjadual.

Sejumlah minyak
masak paket, dokumen perniagaan, resit transaksi serta barangan
berkaitan uji beli turut disita bagi tujuan siasatan lanjut dengan
keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM104.00.

KPDN memberi amaran tegas kepada semua peniaga supaya tidak
mengenakan sebarang syarat pembelian yang tidak dibenarkan terhadap
pengguna dalam urusan penjualan barang kawalan.

Peniaga hendaklah
sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa dan
tidak mengambil kesempatan sehingga menjejaskan kepentingan
pengguna.

KPDN akan terus mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan
dari semasa ke semasa serta tidak akan teragak-agak mengambil
tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan
kesalahan di bawah undang-undang yang dikuatkuasakan oleh
Kementerian.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti
perdagangan yang melanggar undang-undang digalakkan untuk
menyalurkan maklumat menerusi saluran rasmi berikut:

i. WhatsApp: 019-848 8000;
ii. Portal e-Aduan KPDN: http://eaduan.kpdn.gov.my;
iii. Call Centre: 1-800-886-800; dan
iv. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN.

DATUK AZMAN BIN ADAM
Ketua Pengarah Penguat Kuasa
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri
dan Kos Sara Hidup
Putrajaya
24 September 2026

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *