
TELUK INTAN, 20 September – KPDN Perak menumpaskan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi dalam serbuan Op Tiris 4.0 di sebuah jeti perikanan di Hutan Melintang, awal pagi semalam.
Serbuan hasil risikan selama sebulan itu membawa kepada penahanan tiga individu berusia 33 hingga 42 tahun, termasuk pemandu lori, kelindan dan pemilik jeti.
Pemeriksaan menemukan 43,000 liter diesel yang dipercayai diseleweng daripada bot nelayan dan dijual semula di pasaran gelap pada harga hampir RM4 seliter, berbanding harga belian RM1.65.
Sitaan melibatkan sebuah bot nelayan, lori tangki, dua tangki skid, 43,000 liter diesel serta peralatan pemindahan minyak, dengan nilai keseluruhan lebih RM1.5 juta.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
