
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) memperkemas pendekatan pengajaran Matematik bagi menangani kelemahan murid dalam memahami konsep asas dan membuat penaakulan.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum), Dr Rusmini Ku Ahmad berkata dapatan PISA 2025 menunjukkan cabaran utama murid bukan sekadar menjawab soalan, tetapi memahami konsep serta menjelaskan alasan logik di sebalik jawapan.
Beliau berkata KPM telah menghasilkan Modul Miskonsepsi dalam Matematik dan merangka Pelan Transformasi Pendidikan Matematik di bawah Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035.
Langkah itu turut melibatkan latihan guru, pengukuhan kepimpinan sekolah serta khidmat nasihat kumpulan pakar bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran Matematik.
Menurutnya, KPM juga meneliti isu ketidakpadanan opsyen guru bagi memastikan kepakaran tenaga pengajar dimanfaatkan secara optimum.
Sementara itu, dapatan PISA 2025 menunjukkan pencapaian Matematik Malaysia menurun berbanding 2022, manakala prestasi Bacaan dan Sains kekal stabil.
