




8 September 2026
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turun padang ke Kementerian Perladangan dan Komoditi pagi ini bagi bertemu warga kementerian serta para pekebun kecil untuk mendengar sendiri pandangan, keluhan dan permasalahan yang dihadapi golongan berkenaan.
Menurut beliau, pertumbuhan ekonomi negara sebanyak enam peratus pada suku kedua yang melangkaui semua unjuran awal turut disokong oleh sektor perladangan dan komoditi, termasuk sumbangan besar para pekebun kecil kepada ekonomi serta hasil negara.
Justeru, beliau menegaskan suara pekebun kecil mesti terus didengar dan nasib mereka dibela, khususnya berkaitan pendapatan, peningkatan mutu serta hasil pengeluaran, kemudahan jalan ladang dan keadaan perumahan.
Usai perhimpunan, Anwar bersama Menteri Perladangan dan Komoditi serta pimpinan kementerian mengadakan pertemuan tertutup dengan wakil pekebun kecil dan pengusaha sektor getah, sawit, koko, lada, kenaf serta perkayuan.
Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri berkata beliau mendengar secara langsung isu yang dibangkitkan tanpa tapisan, termasuk keperluan meningkatkan kelayakan diesel,
memudahkan akses kepada peruntukan jalan ladang serta menyediakan sumber air alternatif.
Turut dibincangkan ialah cadangan memperkukuh perwakilan suara pekebun kecil di Parlimen serta isu pertindihan fungsi antara Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan RISDA.
Anwar berkata beberapa perkara yang dibangkitkan akan segera dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Kabinet serta pertemuannya dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri pada bulan depan.
Mungkin tidak semua dapat dilaksanakan segera kerana kekangan semasa, namun Kerajaan MADANI akan berusaha sebaik mungkin untuk mencari penyelesaian mengikut kemampuan.
Beliau berkata sebarang keputusan berkaitan perkara tersebut dijangka diumumkan dalam Belanjawan 2027.
