263 SYARIKAT TERIMA INSENTIF CUKAI, KERAJAAN PERKASA PENGELUARAN MAKANAN NEGARA

SHAH ALAM, 5 Ogos – Kerajaan terus memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara apabila sebanyak 263 syarikat menerima manfaat menerusi Insentif Cukai Galakan bagi Projek Pengeluaran Bahan Makanan, sekali gus merangsang pelaburan serta meningkatkan kapasiti pengeluaran sektor agromakanan tempatan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, insentif tersebut melibatkan projek subsektor tanaman meliputi kawasan seluas 11,509 hektar dengan jumlah pelaburan keseluruhan mencecah RM1.95 bilion setakat Mei tahun ini.

Beliau berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM17.52 juta di bawah Program Pemberdayaan Makanan Selamat melalui Amalan Pertanian Baik (RMK-13), selain menyediakan insentif bersasar sebanyak RM1.5 juta bagi menggalakkan pensijilan myGAP dan myOrganic, sekali gus meningkatkan pengeluaran hasil pertanian yang berkualiti, selamat dan berdaya saing.

Menurut beliau, golongan petani disaran memanfaatkan pelbagai inisiatif kerajaan seperti BUDI Agri-Komoditi, Program Geran Agropreneur Muda, Geran Pemadanan High Impact Product (HIP) dan Change Upgrade Product (CUP) bagi memperkukuh pembangunan sektor pertanian.

Datuk Chan turut menggalakkan penggunaan teknologi moden termasuk Sistem Pengurusan Pengairan Pintar (SIMS) bagi meningkatkan kecekapan penggunaan air serta memperkukuh daya tahan sektor pertanian dalam menghadapi cabaran perubahan iklim.

Pada majlis sama, beliau melancarkan Buku Pakej Teknologi Tanaman Bawang Merah sebagai panduan rasmi bagi memperkasakan pengeluaran bawang merah tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap import.

Seminar Pengembangan Subsektor Tanaman Jabatan Pertanian 2026 yang berlangsung selama tiga hari itu menghimpunkan lebih 450 peserta terdiri daripada pengeluar, pengeksport, wakil persatuan, pegawai pengembangan dan agensi berkaitan dari seluruh negara.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *