KKM PERKUKUH KAWALAN PASARAN MENERUSI PENGENALAN LABEL HOLOGRAM PERANTI PERUBATAN BERDAFTAR

PUTRAJAYA, 6 Ogos – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenalkan Label Keselamatan Hologram bagi peranti perubatan berdaftar sebagai langkah memperkukuh kawalan pasaran serta melindungi pengguna daripada risiko penggunaan produk tiruan dan tidak berdaftar.

Pelaksanaan secara berfasa itu bertujuan meningkatkan kebolehkesanan produk, mengesahkan ketulenan peranti perubatan serta memperkukuh integriti rantaian bekalan melalui sistem pemantauan pasca pasaran yang lebih berkesan.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), Ts. Dr. Muralitharan Paramasua berkata, inisiatif berkenaan dibangunkan berasaskan kejayaan sistem Label Keselamatan Hologram Farmatag yang digunakan bagi produk farmaseutikal sejak 2005 dalam membanteras penjualan produk tiruan.

Menurut beliau, pelaksanaan label hologram itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan kerjasama pihak industri bagi memastikan hanya peranti perubatan yang selamat, tulen dan berdaftar berada di pasaran.

Beliau berkata, usaha tersebut turut menyokong hasrat Malaysia memperkukuh ekosistem kawal selia peranti perubatan bertaraf antarabangsa, setanding dengan negara maju seperti Jepun, Kanada, Australia dan Singapura.

Pengenalan sistem baharu itu juga dilihat mampu memperkukuh keyakinan pengguna serta menyokong aspirasi Malaysia menjadi hab industri peranti perubatan serantau menjelang 2030 melalui pemerkasaan penyelidikan, pembangunan dan inovasi.

Pengumuman rasmi pelaksanaan Label Keselamatan Hologram itu dijadual disempurnakan oleh Menteri Kesihatan sempena International Medical Device Exhibition and Conference (IMDEC) 2026 pada 26 Ogos ini.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *