
IPOH, 19 Julai 2026 – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim hari ini
merasmikan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang
(MPBKKJG) 2026 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan
Shah (ILKKM SAS), Ipoh, Perak.
Sempena majlis tersebut, lagu tema Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia
(HKHM) 2026 bertajuk Aku Berjanji, nyanyian Faizal Tahir, diperdengarkan buat
julung-julung kalinya kepada orang ramai.
Lagu ini membawa mesej kebersamaan,
perpaduan dan semangat cinta akan negara dalam usaha mempertahankan
kedaulatan tanah air.
Majlis yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi melalui Jabatan Penerangan
Malaysia (JAPEN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak itu dimeriahkan dengan
persembahan pergendangan tradisional Melayu, Cina, India dan Gong Borneo oleh
pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), selain persembahan koir lagu
patriotik oleh pelatih ILKKM SAS bersama artis PENTARAMA JAPEN.
Pada sebelah pagi, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Abdul
Halim Hamzah telah menyempurnakan pelepasan lebih 2,000 peserta Larian Patriot
Merdeka.
Turut berlangsung ialah Program Kita MADANI yang menampilkan pelbagai
pengisian, termasuk Pameran Kenegaraan JAPEN, Wellness on Wheels (WOW),
Klinik Pergigian dan NADI on Wheels (NOW).
Program ini dilaksanakan menerusi
kerjasama strategik antara Kementerian Kesihatan Malaysia, Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Yayasan Bina Upaya Darul
Ridzuan.
MPBKKJG 2026 menandakan permulaan Sambutan Bulan Kebangsaan 2026.
Sehubungan dengan itu, rakyat diseru agar bersama-sama menzahirkan semangat
patriotik dengan mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing serta
menyokong pelbagai program patriotik yang dianjurkan oleh kementerian, jabatan,
agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh
negara.
Turut hadir ialah Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, YAB Dato’ Seri Saarani bin
Mohamad; Menteri Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk
Sambutan HKHM 2026, YB Dato’ Seri Fahmi Fadzil; Menteri Perpaduan Negara,
YB Datuk Aaron Ago Dagang, barisan Jemaah Menteri; Ketua Setiausaha Negara,
YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi,
YBhg. Datuk Abdul Halim Hamzah; serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan
Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Lagu tema, Kit Promosi serta pelbagai bahan rasmi Sambutan Hari Kebangsaan dan
Hari Malaysia (HKHM) 2026 boleh dimuat turun melalui portal Merdeka360 di
www.merdeka360.my atau Facebook rasmi Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bagi
mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini berkaitan sambutan HKHM 2026.
Kementerian Komunikasi menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama
menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 dengan
memainkan lagu tema serta menggunakan Kit Promosi HKHM 2026 dalam pelbagai
program, aktiviti dan platform digital.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Media dan Publisiti
Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026
Jabatan Penerangan Malaysia
