






Oleh: Sholina Osman
25 JUN 2026
Dalam mendepani apa jua situasi yang mencabar, jangan sesekali lari daripada tanggungjawab.
Setiap ujian yang berlaku hendaklah dijadikan pengajaran dan hikmah untuk memperbaiki kelemahan, memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan keyakinan masyarakat.
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Nelayu Perlis (MAIPs) akan terus melangkah ke hadapan dengan lebih baik sekiranya semua pihak terus bersatu hati, saling mempercayai, dan meletakkan kepentingan agama serta Ummah mengatasi apa-apa lain.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena Program MAIPs Peduli anjuran di sekitar Simpang Empat, baru-baru ini.
INISIATIF BERTERUSAN MAIPs
Program Kayuhan MAIPs Peduli merupakan salah satu inisiatif berterusan MAIPs yang menggabungkan aktiviti riadah, ziarah kebajikan, dan penyampaian bantuan kepada golongan asnaf di seluruh negeri Perlis.
Melalui program ini, MAIPs dapat mendekati masyarakat secara lebih dekat di samping mengenal pasti keperluan semasa penerima bantuan.
Sempena program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Tuanku Yang DiPertua berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan zakat MAIPs kepada tiga orang penerima asnaf terpilih iaitu Rahman Mat @ Ahmad, 78, dari Kampung Permatang Kersik Tok Pulau, Zuakmam Zain, 48, dari Kampung Pauh Sanglang, serta Mohamad Ruadzi Saad, 64, dari Kampung Kepala Batas, Pauh.
SEBAGAI TANDA SOKONGAN
Dalam program yang sama, Tuanku Raja Muda turut berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Country Road Homestay yang terletak di Pauh Tiga Beradik, Simpang Empat sebagai tanda sokongan kepada Promosi Tahun Melawat Perlis 2024-2026 dan juga Tahun Melawat Malaysia 2026-2027.
Country Road Homestay merupakan antara produk pelancongan komuniti yang semakin mendapat perhatian pengunjung yang mencari suasana percutian tenang dan dekat dengan alam semula jadi.
Berlatarbelakangkan hamparan sawah padi yang luas, homestay berkonsepkan kabin moden ini menawarkan pengalaman penginapan yang nyaman serta sesuai untuk aktiviti keluarga, pasangan mahupun perjumpaan bersama rakan-rakan.
PERSEKITARAN YANG DAMAI
Antara tarikan utama yang ditawarkan ialah kolam renang yang luas, persekitaran yang damai serta kemudahan penginapan yang selesa.
Setiap bilik dilengkapi dengan penghawa dingin, tandas peribadi dan tingkap bersaiz besar yang membolehkan tetamu menikmati pemandangan alam semula jadi yang memukau.
Ia turut menawarkan pelbagai pilihan penginapan termasuk bilik jenis Deluxe, Triple dan Family Room bagi memenuhi keperluan pelbagai kategori pengunjung.
Kewujudan produk pelancongan seperti ini dilihat mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat serta memperkukuhkan sektor pelancongan desa di negeri Perlis. – JM
