






Oleh: Sholina Osman
Foto: Rejimen 504 Askar Wataniah
20 JUN 2026
Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pelancaran Kokurikulum Askar Wataniah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang berlangsung di Padang Boulevard, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra baru-baru ini.
Mengiringi Baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turut berangkat sama adalah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail serta puteri-puteri baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
KOMANDER REJIMEN 504
Keberangkatan tiba baginda merangkap Tuanku Canselor UniMAP dan juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah disambut oleh Naib Canselor, Leftenan Kolonel Profesor Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli dan Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Mohd Azwan Ariff Mohd Azawi.
Turut hadir ialah Asisten Ketua Staf (AKS) Bahagian Pasukan Simpanan, Mejar Jeneral Datuk Mohammad Razeif Che Ahmad serta Panglima Briged Ke-30 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zaini Haji Hashim.
Perbarisan penutup tersebut yang disekalikan dengan yang disekalikan dengan Perbarisan Penutup Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS) Siri 1/2026 melibatkan kekuatan seramai 82 anggota lain-lain pangkat terdiri daripada sukarelawan Rejimen 504 Askar Wataniah diketuai oleh Perajurit Muda Wan Mohd Ashraff Hakimi Wan Mohd Tarmizi.
BERJAYA MENAMATKAN KURSUS
Puteri kedua Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda iaitu Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail turut mengambil bahagian dan berjaya menamatkan Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS) Tentera Darat Malaysia berkenaan.
UniMAP dan Rejimen 504 Askar Wataniah telah menjalinkan kerjasama strategik yang erat dalam memperkasa pasukan simpanan negara serta menyokong agenda pertahanan negara. Melalui pelbagai inisiatif bersama, UniMAP terus komited membantu pembangunan Askar Wataniah sambil memupuk semangat patriotisme, kepimpinan dan kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa.
Pelancaran Program Kokurikulum Askar Wataniah untuk pelajar diploma UniMAP itu merupakan satu lagi pencapaian bersejarah hasil daripada kerjasama strategik antara kedua-dua institusi tersebut.
GRADUAN YANG BERDISIPLIN
Inisiatif ini melambangkan komitmen berterusan UniMAP dan Rejimen 504 Askar Wataniah dalam melahirkan graduan yang berdisiplin, berjiwa patriotik, memiliki semangat kesukarelawanan yang tinggi serta bersedia memikul tanggungjawab sebagai warganegara yang prihatin terhadap aspek keselamatan dan pertahanan negara.
Program kokurikulum tersebut juga menyediakan platform terbaik kepada para mahasiswa untuk memperoleh pendedahan awal mengenai latihan ketenteraan, kepimpinan, disiplin dan kerja berpasukan, sekali gus membuka peluang kepada mereka untuk menyertai Askar Wataniah sebagai anggota sukarela pada masa hadapan.
Pada majlis yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian Program Kokurikulum Askar Wataniah UniMAP, menandakan bermulanya satu era baharu kerjasama antara institusi pengajian tinggi dan pasukan simpanan negara dalam usaha membentuk generasi muda yang lebih berdaya tahan, patriotik dan bersedia menyumbang kepada kesejahteraan tanah air. – JM
