






Oleh: Sholina Osman
16 JUN 2026
Keterbukaan ekonomi global membuka peluang besar seperti pemindahan teknologi dan kemasukan modal asing, namun ia menuntut daya tahan tinggi bagi menghadapi risiko luaran, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda menegaskan integrasi pasaran global turut mendedahkan negara kepada ketidaktentuan kewangan, kejutan luaran, dan ketegangan geopolitik. Oleh itu, kestabilan ekonomi mesti dibina seiring dengan proses keterbukaan tersebut.
Antara langkah pengukuhan ekonomi yang sentiasa wajar diambil kira adalah dengan mengurangkan kebergantungan pada satu sektor pasaran sahaja, menguruskan kewangan dengan bijak dan teliti, memperkasa agensi-agensi untuk menyerap dan mengurangkan impak krisis luar, serta membina daya tahan segera terhadap gangguan teknologi digital yang pantas.
PROGRAM MAIPs PEDULI
Titah tersebut disampaikan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra selepas berkenan mengetuai Program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kampung Alor Redis, baru-baru ini.
Tuanku Raja Muda turut mengingatkan bahawa keterbukaan ekonomi perlu diurus dan diperkukuh secara berterusan.
Program Kayuhan MAIPs Peduli berkenaan merupakan antara inisiatif berterusan MAIPs dalam mendekati masyarakat, khususnya golongan asnaf dan mereka yang memerlukan, di samping meninjau sendiri keadaan serta keperluan penerima bantuan agar kebajikan mereka sentiasa terbela.
BANTUAN WANG TUNAI
Sempena program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang Dipertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan agihan zakat MAIPs berupa bantuan wang tunai berjumlah RM700, Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah kepada para penerima yang telah dikenal pasti.
Penerima bantuan bagi edisi kali ini ialah Zaaba Abdul Rahim, 65, dari Kampung Alor Redis, Zainol Hassan, 70, dari Kampung Telok Epa, serta Sao’dah Bidin, 63, dari Kampung Alor Redis.
Dalam program yang sama, baginda turut berkenan mengadakan lawatan ke Pakteh Char Kuey Teow dan Western, sebuah perusahaan milik usahawan asnaf MAIPs yang dibangunkan menerusi Projek Peningkatan Ekonomi Asnaf Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM).
Premis yang terletak di Kampung Alor Redis, itu menjadi antara contoh kejayaan usaha MAIPs dalam memperkasa ekonomi golongan asnaf melalui bantuan modal, bimbingan dan sokongan berterusan sehingga mampu menjana pendapatan yang lebih mampan. – JM
