


27 April 2026
Kerajaan Negeri Selangor mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak
bertanggungjawab yang mencela dan mengaibkan Institusi Diraja Negeri
Selangor Darul Ehsan yang dipayungi Duli Yang Maha Mulia Sultan
Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz
Shah Alhaj.
Institusi Diraja khususnya Raja-Raja Melayu adalah Ketua Agama Islam
dan merupakan lambang kukuh perpaduan rakyat serta keharmonian
masyarakat yang berbilang kaum.
Dalam pada itu, respon semua pihak termasuk masyarakat awam yang
mengutuk perbuatan itu adalah isyarat jelas pendirian rakyat terhadap
peranan, fungsi, dan setinggi-tinggi penghargaan terhadap Institusi
Diraja Selangor di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan
Selangor.
Saya bertegas menyatakan bahawa tindakan keji sedemikian adalah
ditegah di negeri Selangor.
Seawal pagi tadi, Setiausaha Politik saya, Sdr Saifuddin Shafi Muhammad,
telah mengemukakan satu laporan polis untuk menggesa siasatan segera
terhadap perbuatan hina ini.
Petang tadi, saya telah bertemu Menteri Komunikasi, Datoβ Ahmad Fahmi
Fadzil, untuk menyatakan pendirian Kerajaan Negeri bahawa tindakan
sekeras-kerasnya wajar diambil secara pantas oleh pihak Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Berdasarkan siasatan
awal, pemunya akaun telah menaikkan posting tersebut dan kemudian
memadamkan akaun tersebut di platform Facebook.
Saya akan berhubung rapat dengan pihak Kementerian Komunikasi dan
Polis Diraja Malaysia berkenaan perkembangan siasatan oleh agensi
penguatkuasa dan menyembah maklum sebarang bentuk kemaskini
siasatan kes ini kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor.
Semua pihak harus sentiasa mengingati aspek kebertanggungjawaban
dalam sebarang penggunaan media sosial dan menjauhkan diri daripada
terbawa-bawa dengan tindakan yang boleh mengganggu-gugat
keharmonian masyarakat ataupun Institusi Diraja, terutamanya di negeri
seperti Selangor yang mempunyai masyarakat berbilang kaum yang
seharusnya menjadi kekuatan kita bersama.
DATOβ SERI AMIRUDIN SHARI
DATOβ MENTERI BESAR SELANGOR
27 April 2026
