






Foto: YTSP Perlis
26 APRIL 2026
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa usaha menuntut ilmu tidak seharusnya terhad kepada lulus peperiksaan semata-mata, sebaliknya perlu bertujuan untuk memahami, berfikir secara kritis serta membuat keputusan yang bijaksana.
Baginda menegaskan bahawa ilmu merupakan aset paling berharga dalam kehidupan yang tidak akan luput dan akan terus menjadi bekalan sepanjang hayat.
βGunakanlah masa di sekolah dengan sebaiknya. Banyakkan membaca, bertanya dan belajar bersungguh-sungguh. Jangan mudah berpuas hati kerana setiap masa yang dimanfaatkan untuk belajar hari ini merupakan pelaburan berharga untuk masa depanβ.
PEMBINAAN JATI DIRI
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menekankan kepentingan pembinaan jati diri dan akhlak mulia seiring kecemerlangan akademik. Menurut Baginda, kejayaan tanpa nilai dan adab yang baik tidak membawa makna yang sebenar.
βJadilah pelajar yang jujur, amanah dan bertanggungjawab. Kejayaan sebenar adalah apabila seseorang itu mampu memberi manfaat kepada orang lain”.
Tuanku Raja Muda turut mengingatkan bahawa nama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Alwi membawa sejarah dan makna tersendiri yang wajar dijadikan sumber inspirasi untuk berjaya serta menyumbang kepada masyarakat.
PROGRAM TITIAN KASIH
Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan titah tersebut ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Titian Kasih Mega peringkat SMK Syed Alwi, Kangar baru-baru ini.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba Baginda berdua ke program anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri berslogankan ‘Perlis Hebat! Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Segala Tindakan’ itu disambut oleh Pengetua sekolah, Noryah Md Noh.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin, Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus, dan Ketua Penyelaras Program, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.
398 ORANG PELAJAR
Seramai 757 orang pelajar SMK Syed Alwi telah terlibat terdiri daripada 398 orang pelajar lelaki dan 359 orang pelajar perempuan tingkatan satu hingga tiga.
Dalam ucapannya, pengetua sekolah memaklumkan bahawa SMK Syed Alwi terus mencatatkan pencapaian yang membanggakan dalam pelbagai bidang.
Dari segi akademik, Gred Purata Sekolah (GPS) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meningkat daripada 5.47 kepada 5.30 pada tahun 2025, dengan peningkatan sebanyak 0.17. Peratus kelulusan turut meningkat kepada 95.24 peratus berbanding 95.00 peratus pada tahun sebelumnya.
MATA PELAJARAN UTAMA
Beberapa mata pelajaran utama termasuk Pendidikan Islam, Matematik, Geografi, Pendidikan Seni Visual, Matematik Tambahan, Kimia dan Biologi mencatatkan peningkatan prestasi, selain subjek aliran agama dan kemahiran.
Bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), sekolah mencatatkan GPS 3.10 dengan kelulusan 100 peratus. Mata pelajaran seperti Pengajian Am, Bahasa Melayu, Geografi, Ekonomi, Sejarah dan Pengajian Perniagaan turut mencapai Nilai Gred Mata Pelajaran (NGMP) 3.00 ke atas.
Dalam bidang kokurikulum, SMK Syed Alwi muncul juara kategori lelaki bawah 18 tahun dalam Kejohanan Merentas Desa MSSPs 2026, manakala pasukan Tingkatan Enam dinobatkan sebagai johan keseluruhan Karnival Sukan Tingkatan Enam 2025.
TURUT MENCIPTA KEJAYAAN
Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) turut mencipta kejayaan apabila merangkul beberapa kejuaraan dalam Kejohanan Merentas Desa MSSPs 2026, termasuk johan bagi kategori lelaki dan perempuan serta johan keseluruhan. Seramai 11 atlet PPKI turut terpilih mewakili negeri Perlis ke Kejohanan MSSM di Johor.
Secara keseluruhannya, pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan warga sekolah dalam memacu kecemerlangan akademik dan kokurikulum secara holistik.
Sempena majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan perasmian Alwian Furniture, iaitu inisiatif di bawah Program Vokasional Menengah Atas (PVMA) dalam bidang Pembuatan Perabot.
Program ini dirangka bagi membekalkan kemahiran praktikal kepada murid sebagai persediaan memasuki alam kerjaya atau melanjutkan pengajian dalam bidang teknikal dan vokasional. Melaluinya, murid berpeluang memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dalam bidang Operasi Pembuatan Perabot, bagi meningkatkan kebolehpasaran pelajar dalam industri.
SMK Syed Alwi komited untuk terus memperkasa pendidikan vokasional sebagai laluan alternatif yang relevan dan berimpak tinggi demi masa depan generasi muda. – JM
