
24 April 2026
(Info Ringkas)
Had pelepasan asap hitam kenderaan diesel asing akan diperketatkan oleh Singapura berkuatkuasa 1 April 2026. Had pelepasan ini melibatkan tindakan arahan berpatah balik sekiranya pelepasan asap melebihi had yang ditetapkan.
Had pelepasan asap sedia ada bagi arahan berpatah balik adalah 60 HSU manakala saman akan dikeluarkan jika pelepasan asap melebihi 40 HSU.
Bermula 1 April 2026, had pelepasan asap bagi arahan berpatah balik diperketatkan ke 50 HSU dan had pelepasan asap bagi tindakan saman masih kekal iaitu 40 HSU.
Mana-mana kenderaan diesel asing yang memasuki Singapura melalui kedua-dua pintu masuk iaitu Woodlands dan Tuas Second Link akan diperiksa dan sekiranya didapati melanggar had pelepasan asap yang ditetapkan, tindakan akan diambil oleh pihak Singapura ke atas pemilik kenderaan diesel tersebut.
Pemilik kenderaan adalah dinasihatkan untuk sentiasa menyelenggara kenderaan secara berkala bagi memastikan pembakaran dalaman enjin adalah sempurna bagi mengelakkan pelepasan asap hitam melebihi had.
Pemilik serta pemandu juga dinasihatkan untuk tidak membawa muatan melebihi had yang dibenarkan kerana ianya akan memaksa enjin untuk bekerja lebih keras seterusnya menghasilkan pembakaran dalaman enjin yang mengeluarkan asap hitam.
