
KUCHING, 21 April β Pengiktirafan Sarawak Delta Global Geopark oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam masa terdekat bukan sekadar status simbolik, sebaliknya merupakan pengiktirafan antarabangsa terhadap nilai warisan, geologi dan identiti budaya negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengiktirafan tersebut dijangka memberi impak besar kepada sektor pelancongan dan ekonomi tempatan, selain mengangkat nama Sarawak sebagai destinasi warisan bertaraf dunia.
βPengiktirafan UNESCO ini bukan sekadar status, tetapi ia adalah pengiktirafan terhadap usaha kita dalam memelihara warisan, alam semula jadi dan sejarah yang menjadi identiti Sarawak,β katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Brooke Dockyard Industrial Heritage Museum di Kuching, malam tadi.
Menurutnya, sekiranya diluluskan, pengiktirafan itu akan melengkapkan rangkaian status UNESCO sedia ada di Sarawak, termasuk Mulu sebagai Tapak Warisan Alam, Niah sebagai Tapak Warisan Budaya dan Kuching sebagai Bandar Gastronomi UNESCO.
Status geopark tersebut juga dijangka memperkukuh industri pelancongan premium, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada rakyat melalui sektor perhotelan, makanan, perkhidmatan serta industri kreatif.
Wartawan/Foto: ROSE
