






Oleh: Sholina Osman
Foto: YTSP Perlis
20 APRIL 2026
Gaya hidup sihat merupakan asas kepada kesejahteraan diri. Menjauhi najis dadah, rokok, vape, dan amalan tidak sihat dapat memelihara kesihatan fizikal serta kestabilan emosi.
Oleh itu, golongan remaja khususnya pelajar perlu membuat pilihan yang bijak agar tubuh badan kekal sihat dan mampu menyokong pembelajaran serta kejayaan pada masa hadapan.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Padang Besar baru-baru ini.
Turut berangkat sama, Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
KAYUHAN MAIPs PEDULI
Pendekatan turun padang menerusi program Kayuhan MAIPs Peduli dilihat mampu memperkukuh usaha memastikan kebajikan golongan asnaf terus terbela secara menyeluruh dan berkesan.
Program ini dilaksanakan sebagai satu inisiatif bagi memastikan agihan zakat dapat disalurkan secara telus, tepat, dan terus kepada golongan sasar, melalui kaedah ziarah dari rumah ke rumah yang membolehkan pihak MAIPs berinteraksi secara langsung dengan masyarakat setempat.
Usaha ini jelas mencerminkan komitmen berterusan MAIPs dalam menjamin kesejahteraan rakyat sentiasa diberi perhatian, melalui pendekatan yang inklusif, proaktif serta berteraskan keprihatinan.
MENYANTUNI DAN MENYERAHKAN
Bersempena kayuhan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang Dipertua MAIPs turut berkenan menyantuni dan menyerahkan sumbangan kepada tiga penerima asnaf terpilih iaitu Mat Isa Busu, 61, dari Kampung Titi Tinggi, Hassan Hussin, 70, dari Kampung Ulu Titi Tinggi, serta Khairi Osman, 54, dari Kampung Titi Tinggi Hilir.
Setiap penerima menerima sumbangan wang tunai dari MAIPs sebanyak RM700, Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah bagi meringankan beban kehidupan mereka.
Dalam program tersebut, Baginda turut berkenan meluangkan masa melawat Agro Homestay & Nursery yang terletak di Kampung Titi Tinggi Hilir. Rumah inap berkenaan menawarkan konsep agro-pelancongan yang unik dengan menggabungkan pengalaman penginapan inap desa bersama suasana tapak semaian yang menghijau serta peliharaan kambing, ikan dan itik. – JM
