
JOHOR BAHRU, 18 April β Kerajaan Persekutuan memberi jaminan bahawa bekalan bahan mentah bagi industri peranti perubatan negara kekal terjamin hasil daripada kerjasama strategik yang kukuh dengan China.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kolaborasi melalui Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) itu sangat penting bagi memastikan bekalan komponen utama seperti resin dan nafta sentiasa mencukupi untuk kegunaan industri tempatan.
PEMBEKAL UTAMA DUNIA
Beliau menjelaskan bahawa kedudukan China sebagai pembekal utama dunia membolehkan Malaysia mengekalkan momentum pengeluaran peranti perubatan tanpa gangguan bekalan bahan mentah.
βChina dan India adalah dua negara yang membekalkan bahan mentah (raw materials), dan bekalan ini adalah sangat penting untuk kita kekal terus menghasilkan peranti perubatan bagi kegunaan negara.
βFokus kita sekarang adalah untuk memastikan bekalan bahan mentah ini sentiasa mencukupi bagi pemain industri tempatan,β katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Raya Parlimen Pulai di sini hari ini.
Dr. Dzulkefly turut menambah bahawa walaupun fokus utama kini adalah pada kelestarian bekalan, faktor berkaitan harga bahan mentah tersebut masih lagi dalam peringkat rundingan antara kedua-dua pihak.
Langkah berkenaan dilihat sebagai sebahagian daripada usaha kementerian untuk memperkasakan ekosistem peranti perubatan negara, sekali gus mengurangkan risiko ketidaktentuan bekalan di peringkat global.
Kerjasama itu juga dijangka dapat merangsang pertumbuhan industri tempatan yang sangat bergantung kepada ketersediaan komponen bahan mentah yang stabil bagi memenuhi permintaan hospital dan pusat kesihatan di seluruh negara.
