MTEN tetapkan hala tuju jelas mengurus krisis tenaga global kian meruncing – PMX

Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
14 APRIL 2026

Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini menetapkan hala tuju jelas dalam mengurus krisis tenaga global yang kian meruncing dan dijangka berpanjangan.

“Keutamaan kita adalah melindungi kesejahteraan rakyat, di samping kekal berdisiplin dan realistik dalam setiap langkah yang diambil,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelas beliau pendekatan utama ketika ini adalah menjamin bekalan tenaga dan barangan asas agar kehidupan harian rakyat tidak terjejas.

“Usaha ini digerakkan melalui peranan penting PETRONAS serta perancangan awal bagi memastikan bekalan kekal mencukupi dalam bulan-bulan mendatang,” kata Anwar dalam hantaran di FB.

MENAMPAN KENAIKAN KOS

Dalam masa sama, beliau berkata tindakan menampan kenaikan kos diperkukuh melalui bantuan tambahan subsidi diesel kepada pesawah, petani, pekebun kecil dan pemilik kenderaan individu.

Anwar berkata pengurusan permintaan turut dipertingkat melalui kecekapan penggunaan tenaga, termasuk pelaksanaan Bekerja Dari Rumah bagi penjawat awam bermula esok. Pada masa sama, Ops Tiris dipergiat bagi membanteras ketirisan dan penyeludupan yang boleh menjejaskan bekalan minyak negara.

“Bagi jangka sederhana dan panjang, usaha dipercepat untuk beralih kepada sumber tenaga boleh baharu sebagai langkah mengurangkan kebergantungan kepada bahan api import yang tidak menentu,” kata beliau.

PENYELESAIAN PALING PRAKTIKAL

Jelas beliau biodiesel dikenal pasti sebagai penyelesaian paling praktikal dalam tempoh terdekat, dengan peningkatan kadar adunan kepada B15 secara berperingkat menggunakan infrastruktur sedia ada.

“Pendekatan ini membolehkan tindakan segera diambil sementara menunggu sistem baharu dibangunkan sepenuhnya,” kata Anwar.

Dengan asas industri dan kapasiti domestik yang kukuh, beliau menjelaskan langkah ini bukan sahaja menstabilkan bekalan semasa, tetapi membina daya tahan tenaga negara agar kehidupan rakyat kekal terpelihara dalam menghadapi ketidaktentuan global.

“Insya-Allah, kita harungi cabaran ini dengan tekad, disiplin dan kebersamaan,” jelas Perdana Menteri. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *