Raja Perlis saran jemaah sentiasa berwaspada, patuh arahan Tabung Haji

Oleh: Sholina Osman
13 APRIL 2026

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah bahawa dalam suasana dunia yang semakin mencabar, termasuk perkembangan geopolitik di rantau Timur Tengah, para jemaah hendaklah sentiasa berwaspada serta mematuhi segala garis panduan dan arahan yang telah ditetapkan oleh Lembaga Tabung Haji.

Dalam masa yang sama, Tuanku Syed Sirajuddin menasihatkan agar para jemaah sentiasa mematuhi segala arahan dan nasihat petugas haji, menjaga pemakanan serta tidak memaksa diri melakukan aktiviti yang boleh menjejaskan tahap kesihatan masing-masing.

Demikian titah Tuanku Syed Sirajuddin ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji (KPH) Peringkat Negeri Perlis Musim Haji 1447H/2026M yang berlangsung di Dewan Ibnu Khaldun, Institut Kemahiran MARA (IKM) Beseri.

Keberangkatan tiba Baginda telah disambut oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli.

MENUNTUT KEKUATAN FIZIKAL

Menurut Baginda, ibadah haji merupakan satu ibadah yang menuntut kekuatan fizikal, ketahanan mental serta kesabaran yang tinggi.

Tuanku Raja menegaskan bahawa jemaah haji Malaysia sejak sekian lama dikenali sebagai antara jemaah yang berdisiplin, tertib serta berakhlak mulia ketika berada di Tanah Suci. Justeru itu, reputasi tersebut hendaklah terus dipelihara kerana setiap jemaah bukan sahaja membawa nama baik diri sendiri, malah turut memikul amanah sebagai β€œduta kecil” yang mewakili Malaysia di mata dunia.

Baginda turut mengingatkan bahawa peluang menunaikan ibadah haji merupakan satu nikmat yang mungkin hanya datang sekali seumur hidup. Sehubungan itu, para jemaah diseru agar memanfaatkan setiap detik di Tanah Suci dengan memperbanyakkan ibadah seperti solat berjemaah, membaca al-Quran, berzikir, berdoa serta mempertingkatkan munajat kepada Allah SWT.

SERAMAI 450 ORANG

Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Perlis anjuran Lembaga Tabung Haji Negeri Perlis telah berlangsung pada 11 hingga 12 April 2026 bertempat di IKM Beseri, dengan penyertaan seramai 450 orang bakal jemaah haji dari negeri Perlis sebagai persiapan terakhir sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Majlis ini bukan sekadar program persediaan, malah menjadi wadah penting dalam memperkukuh kefahaman, disiplin serta kesiapsiagaan para jemaah haji.

Segala ilmu dan bimbingan yang diperoleh diharapkan menjadi bekalan bermakna agar setiap jemaah dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna, tenang serta memperoleh haji yang mabrur. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *