JIM GEMPUR DUA TAPAK PEMBINAAN, 45 WARGA ASING DICEKUP

KUCHING, 14 April – Enam wanita antara 45 pekerja warga asing yang ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak dalam dua serbuan di tapak pembinaan awal pagi tadi.

Operasi tersebut dijalankan di sekitar bandar Kuching dan Samarahan, melibatkan pemeriksaan ke atas pekerja di lokasi pembinaan.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Dato’ Lokman Effendi Ramli, antara kesalahan yang direkodkan, termasuk tidak memiliki permit kerja sah, pasport tamat tempoh serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

Beliau berkata, ketika serbuan dijalankan, terdapat warga asing yang cuba melarikan diri dan bersembunyi bagi mengelak daripada ditahan.

Dato’ Lokman ditemui media selepas mengetuai operasi khas itu di Northbank, Kuching, pada awal pagi tadi.

Dalam operasi yang turut disertai oleh RTM, seorang pegawai imigresen dilaporkan cedera di bahagian jari selepas digigit oleh individu yang cuba ditahan.

Selain itu, beberapa pekerja warga asing turut bertindak bersembunyi di aras tinggi tapak pembinaan bagi mengelak pemeriksaan pihak berkuasa.

Kesemua individu yang ditahan, berumur antara 21 hingga 51 tahun, akan dihantar ke Depo Tahanan Imigresen Kem Semuja, Serian untuk tindakan lanjut.

Sehingga 1 Januari hingga Ahad lalu, seramai 1,772 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta 81 majikan telah ditahan hasil daripada 511 operasi yang dijalankan.

JIM turut memaklumkan bahawa warga Indonesia merupakan jumlah tangkapan tertinggi, diikuti oleh warga Filipina dan Vietnam.

beritartmsarawak ΔΊ

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *