KKM PERKUKUH LANGKAH PASTIKAN BEKALAN UBAT DANPERANTI PERUBATAN TERUS TERJAMIN

9 April 2026

Krisis tenaga global yang berlaku ketika ini telah memberi kesan kepada rantaian bekalan
global, termasuk ubat-ubatan dan peranti perubatan.

Ini telah memberi impak kepada
penghantaran serta ketidakstabilan akses kepada beberapa peranti perubatan kritikal,
khususnya produk import bagi kategori berisiko tinggi.

Situasi ini juga antara lain memberi
kesan kepada keupayaan pembekal untuk memenuhi obligasi kontrak, di samping
berpotensi menjejaskan kelangsungan penyampaian perkhidmatan kesihatan sekiranya
tidak ditangani dengan segera.

Selaras dengan keutamaan Kerajaan, KKM giat memastikan keterjaminan bekalan ubat
dan peranti perubatan melalui pengukuhan stok penimbal bagi ubat dan peranti
perubatan kritikal, mempelbagaikan sumber bekalan serta pemantauan bahan mentah
dan rantaian bekalan secara berterusan bersama pihak industri bagi membolehkan risiko
gangguan dikenal pasti lebih awal dan ditangani secara bersasar.

Pengurusan bekalan dilaksanakan secara berhemah melalui pengagihan berasaskan
keperluan klinikal dan penggunaan yang rasional, di samping penyediaan pelan rawatan
klinikal alternatif serta memudahcara proses regulatori bagi memastikan akses
berterusan kepada ubat-ubatan.

KKM turut melaksanakan Laluan Akses Khas (Special
Access Pathway), pengaktifan pelan gerak balas kecemasan, penetapan item kawalan
serta perluasan penggunaan e-Labelling bagi peranti perubatan.

Bagi jangka sederhana dan panjang, tumpuan diberikan kepada pengukuhan daya tahan
bekalan melalui peralihan penggunaan bahan resin kepada polimer, pelaksanaan Unique
Device Identification (UDI) dan pembangunan industri tempatan bagi peranti perubatan.

Bagi ubat-ubatan pula, pembangunan dasar keterjaminan bekalan ubat melalui inisiatif
MyMedSecure, pengukuhan pengeluaran tempatan, pendigitalan rantaian bekalan dan
pewujudan stok penimbal strategik nasional turut disasarkan.

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
9 APRIL 2026

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *