FAMA PERKASA JUALAN AGRO MADANI: BANTU PENJIMATAN RAKYAT

SELAYANG, 8 APRIL 2026 – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
(KPKM) melalui agensinya, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA),
hari ini mengumumkan pelaksanaan Pelan Intervensi Pembekalan dan Pemasaran
Hasil Pertanian yang komprehensif bagi mendepani impak krisis tenaga global.

FAMA akan memperkasakan Jualan Agro MADANI (JAM) dengan penggunaan
tagline “Jimat Dapur Rakyat” yang menyasarkan pelaksanaan sebanyak 2,399 sesi di
seluruh negara bermula April sehingga September 2026.

Inisiatif ini dilaksanakan
secara berterusan di premis-premis seliaan FAMA termasuk Agrobazaar FAMA,
Pusat Operasi FAMA dan lokasi strategik lain.

Pelaksanaan ini akan dijalankan secara berfasa, di mana Fasa 1 (April-Mei)
melibatkan 872 sesi, manakala Fasa 2 (Jun-September) akan dipertingkatkan kepada
1,527 sesi.

Melalui inisiatif Jualan Kombo MADANI dan jualan promosi ini, kumpulan sasar bakal
menikmati potongan harga antara 10% hingga 30% lebih rendah berbanding harga
pasaran tempatan, sekali gus bertindak sebagai mekanisme perlindungan kepada
pengguna daripada kesan kenaikan kos sara hidup.

Langkah ini selari dengan usaha Kerajaan MADANI dalam memastikan kestabilan
rantaian bekalan makanan serta akses barangan asas kepada rakyat pada harga
rendah di seluruh negara.

FAMA komited untuk terus memainkan peranan sebagai pemudah cara melalui
kerjasama erat dengan pengeluar, pemborong dan peruncit, bagi menjamin
keterjaminan makanan negara, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk
membina sistem makanan yang lebih berdaya tahan dalam menghadapi sebarang
krisis global pada masa hadapan.

Disediakan oleh:
Cawangan Korporat & Advokasi FAMA Ibu Pejabat
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

8 April 2026

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *