Kerajaan gerakkan segala ikhtiar jamin bekalan tenaga, barang asas cukup – PMX

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
4 APRIL 2026

Kerajaan sedang menggerakkan segala ikhtiar untuk menjamin bekalan tenaga dan barangan asas, di samping merangka usaha untuk memastikan peniaga, petani dan nelayan mampu bertahan sepanjang tempoh mencabar ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sekarang bukan masanya untuk terus berpolitik atau menabur sentimen mengelirukan.

“Kita tidak ada ruang untuk berpecah tatkala cabaran sedang memuncak. Fokus kita semua harus tertumpu kepada usaha memperkukuh ketahanan negara dan mengurus sumber dengan lebih berhemat,” kata Anwar dalam hantaran di FB.

Terdahulu Perdana Menteri merasmikan Program MADANI Rakyat Negeri Perak sebagai mengakhiri kunjungan di Perak.

MENJADI RUANG PENTING

Beliau menyifatkan program
Ini menjadi ruang penting untuk Kerajaan mendekati masyarakat serta mendengar pandangan dan teguran, supaya setiap dasar yang digubal terus diperbaiki dan benar-benar memenuhi keperluan semasa.

Jelas beliau di tengah krisis tenaga global yang menekan ekonomi, inisiatif ini membawa barangan asas seperti ikan, sayur, ayam, beras dan minyak masak pada harga jauh lebih rendah daripada pasaran, sebagai ikhtiar langsung meringankan beban rakyat.

Dalam ucapan, beliau juga memegaskan bahawa semua perlu menerima hakikat bahawa dunia sedang berdepan krisis besar susulan konflik di Asia Barat yang kian parah.

MEMBERI TEKANAN LANGSUNG

Beliau berkata gangguan terhadap laluan strategik Selat Hormuz telah melonjakkan kos tenaga dan memberi tekanan langsung kepada ekonomi dunia, termasuk Malaysia.

Anwar berkata keadaan di negara lain termasuk di sekitar ASEAN jauh lebih parah.

“Ada yang sudah melaksanakan catuan minyak, ada yang menutup lebih 400 stesen minyak, dan ada rakyat yang terpaksa mengubah seluruh rutin harian kerana kekurangan bekalan. Ini realiti yang sedang berlaku ketika ini,” jelas Perdana Menteri.

Beliau menjelaskan dengan tekad yang jelas dan usaha bersama, Insya-Allah Malaysia berupaya untuk berdiri teguh dan terus bertahan menghadapi badai ini. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *