



Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
4 APRIL 2026
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), bagi menjejak kenangan di alma mater yang banyak membentuk asas pemikiran, disiplin dan perjalanan hidup saya.
Beliau sempat menghimbau saat bersama rakan dan guru-guru, yang jasanya tidak terdaya dilupakan atau mampu dibalas, kerana budi mereka terlalu tinggi dan mulia.
Dalam sesi Temu Anwar bersama anak-anak MCKK, soalan-soalan yang dibangkitkan menyentuh isu besar, daripada cabaran geopolitik semasa hinggalah kepada peranan pendidikan dalam membentuk masa depan.
MERUNCING AKIBAT KONFLIK
“Saya jelaskan bahawa dunia kini berdepan ketidaktentuan yang kian meruncing akibat konflik di Asia Barat,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Jelas beliau dalam serangan berterusan Israel terhadap Iran dengan dukungan Amerika Syarikat telah mencetuskan kitaran keganasan yang semakin melebar dan berpanjangan.
Di Gaza pula, kata Anwar dunia menyaksikan pembunuhan rakyat awam, kemusnahan infrastruktur asas dan penderitaan kanak-kanak yang tidak berdosa.
Namun, kata beliau lebih mengecewakan apabila sebahagian kuasa besar Barat memilih untuk berdiam diri, malah dalam keadaan tertentu terus memberikan sokongan politik dan ketenteraan.
HAK ASASI MANUSIA
“Inilah wajah hipokrasi yang nyata dan tidak boleh kita terima. Mereka berbicara lantang tentang hak asasi manusia tetapi apabila berdepan pembunuhan, kezaliman dan perampasan tanah, prinsip itu menjadi selektif dan dipolitikkan mengikut kepentingan,” kata beliau.
Lebih membimbangkan Anwar berkata semua ini dilakukan oleh negara-negara yang memiliki kecanggihan teknologi, kekuatan ilmu dan institusi pendidikan terbaik di dunia.
Namun beliau berkata apabila kecerdasan tidak disertai nurani, ia hanya melahirkan kekuatan tanpa kemanusiaan.
CEMERLANG TANAM JIWA
“Menjawab persoalan anak-anak tentang masa depan pendidikan, saya tekankan bahawa kita tidak boleh melahirkan generasi yang hanya cemerlang tanpa jiwa, Excellence Without a Soul seperti diungkapkan oleh profesor Universiti Harvard, Harry R Lewis,” kata beliau.
Anwar berkata pendidikan harus melahirkan insan yang bukan sahaja unggul dari segi intelek, tetapi juga berakar pada nilai, akhlak dan keinsafan.
Beliau berkata dengan ilmu, peluang dan ruang yang diberikan, menjadi amanah untuk membina masyarakat yang lebih adil, berperikemanusiaan dan bermaruah, serta membuka akses pendidikan berkualiti kepada semua, Insya-Allah. – JM
