




Wartawan JM
3 APRIL 2026
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan terhadap 17 individu yang disyaki telah
menyebarkan maklumat berunsur palsu mengenai kenaikan harga bahan api dan tarif baharu elektrik yang tular di platform media sosial.
Kenyataan media MCMC memaklumkan sehingga hari ini, sebanyak lapan rakaman percakapan suspek yang terlibat telahpun selesai, termasuk lima kes hantaran berunsur palsu berkaitan isu kenaikan harga bahan api.
Daripada lima kes tersebut, tiga
suspek telah dirakam percakapan sebelum ini dan semalam baki dua lagi telah selesai dirakam percakapan.
Sementara itu, terdapat tiga kes berkaitan tarif baharu elektrik.
DALAM PROSES PEMANTAUAN
Baki sebanyak sembilan lagi suspek sedang dalam proses pemantauan lanjut dan akan dipanggil untuk rakaman percakapan dalam masa terdekat.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan
kesalahan.
MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial yang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dengan penyebaran maklumat palsu.
Penyebaran maklumat-maklumat palsu ini boleh menimbulkan suasana
panik dan kegelisahan kepada pengguna.
Tindakan tegas akan dikenakan
terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada. – JM
