PGA rampas 410 liter petrol dan diesel, 2 lelaki warga Thai ditahan

Oleh: Sholina Osman
28 MAC 2026

Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 410 liter petrol dan diesel ekoran penahanan tiga lelaki warga Thailand di Jalan Kangar-Padang Besar berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, pada 26 Mac 2026.

Komander Briged Utara PGA Senior Assiten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata kesemua lelaki yang ditahan itu berumur lingkungan 22 tahun sehingga 45 tahun.

Beliau berkata ia hasil Op Taring Bravo 1 pada 26 Mac 2026 Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Utara, PGA dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perlis.

Dalam operasi tersebut, beliau berkata pihak polis telah menahan dan membuat pemeriksaan terhadap tiga buah kenderaan Thailand dalam keadaan yang mencurigakan.

DISYAKI JENIS PETROL

“Hasil pemeriksaan telah menjumpai sejumlah isi kandungan cecair disyaki jenis petrol dan diesel di dalam tangki
yang telah diubahsuai pada setiap kenderaan yang dipercayai bagi aktiviti penyeludupan petrol dan diesel ke negara Thailand,” kata beliau dalam kenyataan media.

Beliau berkata bagi kenderaan Thailand jenis sedan didapati telah diisi dengan kandungan 150 liter cecair disyaki jenis petrol di dalam tangki kenderaan yang telah diubah suai.

Jelas beliau bagi kenderaan Thailand jenis pikup pula ia dianggarkan diisi dengan 140 liter cecair disyaki jenis diesel di dalam tangki kenderaan yang telah diubah suai.

“Satu lagi kenderaan Thailand dari jenis pikup juga telah diisi dalam anggaran 120 liter cecair disyaki jenis diesel di dalam tangki kenderaan yang telah diubah suai,” kata beliau.

Beliau berkata jumlah anggaran nilai rampasan bernilai RM 217,015.70.

KETIGA-TIGA PEMANDU

Balveer Singh berkata ketiga-tiga pemandu tersebut dikesan aktif melakukan aktiviti penyeludupan ini atas permintaan yang sangat tinggi di negara jiran oleh kerana harga yang lebih murah dan stok minyak petrol dan diesel di Thailand telah berkurangan akibat krisis geopolitik dunia yang sedang berlaku.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Seksyen 8(4)(a)
(Akta 122) kerana disyaki memiliki barang kawalan dengan niat untuk menyeleweng yang membawa hukuman denda tidak melebihi satu juta ringgit atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya.,” kata beliau.

Beliau berkata pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perlis turut telah mengeluarkan saman terhadap setiap pemandu warga asing tersebut atas kesalahan mengubahsuai struktur kenderaan.

Beliau berkata Ibu Pejabat Briged Utara PGA akan terus melaksanakan pengawasan serta rondaan secara berterusan di sekitar Negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis bagi mengekang serta membanteras sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *