Zon Maritim Kuala Perlis rampas 49 ketulan mampat ganja bernilai RM150,000

Oleh: Sholina Osman
23 FEB. 2026

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis telah berjaya merampas 49 ketulan daun kering mampat disyaki ganja seberat 50 kilogram yang bernilai RM150,000 di pesisir pantai Kuala Perlis, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, rampasan itu dibuat oleh sepasukan anggota penguat kuasa Zon Maritim Kuala Perlis ketika melaksanakan rondaan rutin Op AMAN dan Op TIRIS 3.0.

“Pasukan berkenaan telah menerima maklumat berhubung objek mencurigakan yang terdampar di pantai,” katanya pada sidang media di pejabat Zon Maritim Kuala Perlis hari ini.

Beliau berkata dadah tersebut dipercayai diseludup masuk melalui jalan laut merentasi sempadan Malaysia-Thailand.

DARI NEGARA JIRAN

Jelas beliau dadah berkenaan dibawa dari negara jiran dengan menggunakan bot ekor biawak bagi memudahkan pergerakan meletakkan ganja tersebut di lokasi berkenaan sebelum penyeludup melarikan diri.

Romli berkata dadah berkenaan yang ditinggalkan dalam tiga guni itu nanti akan diambil oleh seseorang.

Sehubungan itu kata beliau tiada sebarang tangkapan dilakukan.

Romli berkata dengan rampasan ganja sebanyak itu akan dapat menyelamatkan dari digunakan oleh 50,000 orang penagih.

SENTIASA MEMPERTINGKAT RONDAAN

Dalam pada itu, Maritim Malaysia sentiasa mempertingkat rondaan serta pengawasan di perairan Kedah dan Perlis, selain memperkukuh perkongsian risikan bersama agensi penguat kuasa lain bagi menutup ruang pengedaran dadah oleh sindiket di dalam negara ini.

Orang ramai khususnya komuniti maritim diminta menyalurkan maklumat sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan.

Sebarang kecemasan boleh menghubungi talian 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di 04-9851072 dan 04-9851162 untuk tindakan segera. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *