






Oleh: Sholina Osman
13 FEB. 2026
Keakraban hubungan sejarah dan budaya antara umat negeri Perlis dan wilayah Satun, Thailand harus terus diperkukuh demi memelihara warisan kedua negara.
Demikian menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berangkat bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil mengetuai Ziarah Ramadan anjuran MAIPs baru-baru ini.
Kehadiran pasangan diraja Perlis Ke Madrasah Tahfiz Al-Quran Tammalang, Satun itu disambut dengan penuh meriah oleh ratusan penduduk sekitar Ban Tammalang.
Kunjungan silatulrahim ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan terhadap pendidikan Islam merentasi sempadan, malah mengukuhkan lagi hubungan emosi antara masyarakat Melayu Islam di kedua-dua negeri dan wilayah berjiran ini.
Turut mengiring ialah Pegawai Istiadat Istana Arau, Datuk Zul Aznam Haron serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.
Hadir sama, Ketua Penyelaras Hubungan Antarabangsa MAIPs Bagi Thailand, Mejar Jeneral Polis (Bersara) Datuk Pichate Pitisathepan dan isteri beliau, Datin Nuranee Pitisathepan.
TERJALIN SEKIAN LAMA
Dalam titah Baginda, Tuanku Raja Muda menzahirkan harapan agar ukhuwah yang telah terjalin sekian lama antara masyarakat di Satun dan umat Islam di Perlis akan sentiasa dipelihara dan dilestarikan.
Tuanku Raja Muda menegaskan bahawa persamaan dari sudut budaya dan pegangan agama merupakan jambatan yang memperkukuh solidariti serumpun.
“Ukhuwah yang sedia terjalin ini perlu kita jaga dengan sebaik mungkin. Kita berkongsi banyak persamaan, baik dari segi budaya mahupun nilai kehidupan, dan ia harus menjadi kekuatan untuk kita terus saling menyokong antara satu sama lain,” titah Baginda.
Tuan Syed Faizuddin Putra yang juga merupakan Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyampaikan sumbangan buah kurma sempena menyambut bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi. Sumbangan tersebut diagihkan kepada beberapa masjid utama di kawasan sekitar, iaitu Masjid Tammalang Hilir, Masjid Tammalang Hulu, Masjid Puju dan Masjid Koh Ya. – JM
