


Wartawan JM
12 FEB. 2026
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook bersama-sama wakil Menteri Besar Pahang, Exco Kerja Raya,
Pengangkutan dan Kesihatan Negeri
Datuk Ir. Razali Kassim telah melancarkan Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti atau Stage Bus Services Transformation (SBST) di Pekarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang.
Kenyataan media Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) memaklumkan pelaksanaan
SBST Kuantan melibatkan 16 laluan di dua kawasan Pihak Berkuasa
Tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Kuantan dan Majlis Daerah Pekan.
Perkhidmatan bas ini dikenali sebagai BAS.MY Kuantan, menampilkan reka bentuk bas berwarna merah jambu yang ceria dan menarik.
Operasi perkhidmatan disokong
oleh 55 buah bas merangkumi 22 bas midi dan 33 bas mini, lengkap dengan
kemudahan penghawa dingin, Sistem Kedudukan Global (GPS), mesin tiket elektronik serta Kamera Litar Tertutup (CCTV) bagi menjamin keselamatan dan keselesaan penumpang.
TAMBANG TANPA TUNAI
BAS.MY Kuantan turut memperkenalkan sistem pembayaran tambang tanpa tunai menggunakan kad debit/kredit serta e-dompet melalui kod QR.
Warganegara Malaysia juga boleh menikmati Kad 30 Hari BAS.MY bernilai RM30 untuk perjalanan
tanpa had, selain tambang percuma kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, pelajar sekolah dan siswa melalui Kad Konsesi BAS.MY.
Selain itu, pengguna boleh memanfaatkan aplikasi perancang perjalanan yang menyediakan maklumat perkhidmatan dan membantu perancangan perjalanan
pengangkutan awam dengan lebih mudah dan efisien.
Pelaksanaan SBST ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkasa sistem pengangkutan awam negara, khususnya di luar Lembah Klang.
Melalui peranan APAD, perkhidmatan BAS.MY Kuantan terus dipastikan cekap, selamat, mesra pengguna dan boleh diharap bagi meningkatkan mobiliti serta kesejahteraan rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang berteraskan nilai Kesejahteraan dan Ihsan. – JM
