



JULAU, 28 Jan – Statistik jenayah di daerah Julau dan Pakan mencatatkan penurunan memberangsangkan sepanjang tahun 2025 hasil komitmen dan kerjasama erat semua warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta sokongan masyarakat setempat.
Ketua Polis Daerah Julau, DSP Alif Haiqal Ramesh Abdullah berkata, jumlah indeks jenayah bagi tempoh Januari hingga Disember 2025 merekodkan sebanyak 26 kes berbanding 28 kes pada tahun sebelumnya, menunjukkan penurunan sebanyak 7.14 peratus.
Penurunan turut melibatkan kes jenayah harta benda yang berkurang daripada 21 kes kepada 19 kes, manakala statistik jenayah kekerasan kekal sebanyak tujuh kes bagi kedua-dua tahun.
Dalam perkembangan berkaitan, usaha membanteras penyalahgunaan dadah terus dipergiatkan apabila jumlah tangkapan positif dadah meningkat daripada 16 kes pada tahun 2024 kepada 29 kes pada tahun 2025, iaitu peningkatan sebanyak 81.25 peratus, yang kebanyakannya melibatkan penggunaan dadah jenis methamphetamine atau syabu.
Beliau turut memaklumkan, satu kejayaan penting dicapai pada 11 Disember 2025 apabila pihak polis berjaya menahan dua individu disyaki pengedar dadah dalam satu operasi khas di daerah Pakan, dengan rampasan syabu seberat 17.28 gram bernilai kira-kira RM1,500.
Selain itu, bagi tempoh Januari hingga Disember 2025, sebanyak 32 kes siasatan berkaitan dadah telah dibuka, dengan 23 kes atau 71 peratus berjaya dituduh dan disabitkan hukuman, manakala lapan kes masih menunggu tangkapan dan satu kes ditutup selepas keputusan ujian urin didapati negatif.
Daripada keseluruhan kes tersebut, 29 kes melibatkan tangkapan individu yang positif dadah jenis syabu.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Julau yang berlangsung pagi tadi.
Dalam ucapannya, beliau menyeru agar semua pegawai dan anggota IPD Julau untuk terus mengekalkan tahap disiplin, integriti dan profesionalisme demi memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.
Wartawan: DEEN
Sumber/foto: IPD JULAU
