PERKHIDMATAN PENERBANGAN AIRBORNEO AKAN TERUS DIPANTAU DAN DITAMBAHBAIK

KUCHING, 21 Jan – Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin hari ini membuat lawatan kerja ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), bagi memantau operasi perkhidmatan penerbangan AirBorneo sejak ia mula beroperasi awal tahun ini.

Bercakap kepada pemberita, Dato Sri Lee Kim Shin berpuas hati dengan pengoperasian AirBorneo setakat ini, namun akur bahawa penambahbaikan keatas semua aspek operasi diperlukan demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Menurut beliau, kesemua 35 Sistem Kawalan Pelepasan (DCS) AirBorneo sedang berjalan lancar secara manual, dan memerlukan penambahbaikan dari segi kemudahan daftar masuk secara dalam talian bagi pengguna.

Tambahnya, AirBorneo kini memfokus kepada kelancaran operasi, terutamanya Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS), manakala penerbangan serantau ke destinasi ke Semenanjung Malaysia, Indonesia dan Singapura, masih dalam perancangan.

“Industri Penerbangan mempunyai banyak peraturan yang perlu dipatuhi, maka apabila kita mendapat semua kelulusan yang diperlukan, barulah kita dapat beroperasi sepenuhnya. Contohnya seperti permohonan bagi penerbangan serantau yang perlu dilakukan, termasuk butiran tentang jenis pesawat dan sebagainya. Jadi ini akan mengambil masa,” ujar Dato Sri Lee Kim Shin

Dato’ Sri Lee Kim Shin turut memantau pengoperasian AirBorneo di KIA, termasuk Pintu Ketibaan pesawat AirBorneo dari Mukah dan kemudahan kawasan menunggu E-Hailing Baharu di lapangan terbang.

Turut bersama dalam lawatan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin dan Pengurus Kanan KIA, Jun Iskandar Murshidi.

Wartawan/Foto : Eric

rtmsarawaknews

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *