



Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
7 JAN. 2026
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Setiausaha Industri Pertahanan, Sekretariat Industri Pertahanan Presiden Republik Türkiye, Prof. Dr. Haluk Görgün.
Beliau berkata pertemuan ini membuka ruang perbincangan yang konstruktif bagi memperkukuh kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Türkiye, khususnya dalam aspek pembangunan keupayaan, pemindahan teknologi, serta latihan dan pembangunan modal insan sebagai teras kelestarian industri pertahanan negara.
“Kami turut menyentuh kerjasama sedia ada yang telah terjalin menerusi syarikat-syarikat pertahanan kedua-dua negara, dengan penegasan bahawa usaha ini wajar diperkasakan ke tahap yang lebih strategik dan menyeluruh, berlandaskan prinsip saling melengkapi dan manfaat bersama, selari dengan kepentingan keselamatan serantau serta kedaulatan negara,” kata Anwar dalam perkongsian di FB.
Turut hadir pada kunjungan hormat itu ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani; serta Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal.
Delegasi Turkiye pula dianggotai Menteri Pertahanan Yasar Guler yang juga menteri pengiring, Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Aerospace Industries (TAI) merangkap Pengerusi Majlis Perniagaan Turkiye-Malaysia Dr Mehmet Demiroglu, Pengurus Besar ASELSAN Ahmet Akyol, serta Pengurus Besar Defence Technologies Engineering and Trade Inc (STM) Ozgur Guleruz. – JM
