Pelajar Perlis di luar negara perlu ambil peluang timba pengalaman – Raja Muda

Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
29 DIS. 2025

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah kepada para pelajar Perlis yang sedang menuntut di Arab Saudi dan juga di negara-negara lain agar sentiasa mengambil peluang untuk menimba seberapa banyak pengalaman sepanjang berada di perantauan.

Baginda bertitah kehidupan sebagai perantau membuka ruang luas untuk membentuk jati diri, kematangan pemikiran serta memperkayakan perspektif hidup, sekiranya peluang tersebut dimanfaatkan dengan bersungguh-sungguh.

Pelbagai pengalaman berharga boleh diperoleh apabila seseorang sentiasa berusaha mencari ruang pembelajaran di luar bilik kuliah dan tidak hanya bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menegaskan bahawa pengalaman di rantau orang turut merangkumi pembinaan sahsiah, disiplin diri serta keupayaan menyesuaikan diri dalam persekitaran yang berbeza budaya dan latar masyarakat.

BERSIKAP PROAKTIF, BERANI

“Justeru, para pelajar disaran supaya bersikap proaktif, berani mencuba perkara baharu yang positif serta sentiasa menjaga adab dan akhlak, sekali gus menjadi duta kecil negeri dan negara di mata masyarakat antarabangsa,” titah Baginda.

Selain melazimi majlis dan program keilmuan, Baginda turut menggalakkan para pelajar melibatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan yang dibenarkan, di samping bergaul secara berhemah dengan umat setempat dan pelajar antarabangsa lain.

Pendekatan tersebut bukan sahaja dapat memperluas jaringan persahabatan, malah membantu membina kefahaman silang budaya serta kemahiran komunikasi dan kepimpinan.

Tuanku Raja Muda bertitah demikian dalam kenyataan media MAIPs selepas berkenan menerima mengadap Wakil Pelajar Perlis di Madinah, Uzair Radzi baru-baru ini.

DUA ORANG PELAJAR

Pada masa ini, terdapat dua orang pelajar Perlis yang sedang melanjutkan pengajian di Universiti Islam Madinah Munawwarah, iaitu Uzair sendiri dan Talhah Mohd Asri.

Dalam masa yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut mengingatkan agar setiap cabaran dan ujian hidup di perantauan dijadikan medan pembelajaran, termasuk dalam mengurus masa, kewangan, emosi dan hubungan sesama insan.

Menurut Baginda, cabaran tersebut akan melahirkan jiwa yang lebih kental, matang dan berdaya tahan, sekali gus mempersiapkan diri untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negeri apabila pulang kelak.

Pada majlis berkenaan, Baginda yang juga merupakan Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), berkenan menyampaikan Sumbangan Pelajaran Fi Sabilillah MAIPs kepada kedua-dua pelajar Perlis yang berada di Madinah tersebut.

ANAK-ANAK PERLIS

Selain itu, dalam kesempatan berasingan, Baginda turut berkenan menyantuni anak-anak Perlis yang sedang melanjutkan pengajian peringkat sarjana muda di King Abdulaziz University, iaitu Mohamad Firdaus Mat Zainon dan Nuruliman Ismi Anuar yang kini menetap di Jeddah.

Selain itu, seorang lagi bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ – MAIPs), Nurul Widad Ismi Anuar turut belajar di Universiti terkemuka tersebut.

Dalam masa sama, terdapat seorang lagi anak Perlis, Hamzah Handzalah Jamalludin sedang menyambung pengajian di peringkat Sarjana di Taif University.

Tuanku Raja Muda Perlis bersama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda-anakanda iaitu Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah, Hajah Sharifah Farah Adriana, dan Waris Yang Ke-Dua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail kini berada di Tanah Suci bagi menunaikan ibadah umrah.

Turut serta, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *