
DHAKA, 10 November – Bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina, berdepan pelaksanaan hukuman mati sekiranya kembali ke negara itu selepas gagal mengemukakan rayuan dalam tempoh ditetapkan undang-undang.
Pendakwa raya Bangladesh, Md Aminul Islam berkata, Hasina, 79, tidak lagi mempunyai ruang untuk mencabar keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman mati terhadapnya pada November 2025.
Hasina kini berada dalam buangan di India sejak melarikan diri pada Ogos 2024 susulan kebangkitan diketuai pelajar yang mencetuskan krisis politik di Bangladesh.
Beliau disabitkan atas tiga pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan, termasuk menghasut, mengarahkan pembunuhan dan gagal menghalang kekejaman ketika tindakan keras terhadap penunjuk perasaan.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sehingga 1,400 orang terkorban dalam tindakan keras berkenaan.
Kerajaan Bangladesh sebelum ini mengemukakan permohonan ekstradisi kepada India bagi membawa pulang Hasina untuk menjalani proses undang-undang. Bagaimanapun, New Delhi memaklumkan permohonan itu masih dalam penelitian.
Hasina dilaporkan berhasrat kembali ke Bangladesh pada Disember ini, namun kepulangannya dikhuatiri mencetuskan ketegangan politik baharu dalam negara itu.
– AFP
