Buli Siber boleh membawa kepada kes bunuh diri. Ini adalah kesan paling buruk buli siber akibat tekanan jiwa melampau yang ditanggung oleh mangsa.

Contoh kes kematian bintang popular (K-Pop) Korea Selatan, Choi Sulli atau Sulli.
Kematian pelakon dan penyanyi berusia 25 tahun itu yang nama sebenarnya, Choi Jin-ri, didakwa berpunca daripada kemurungan ekoran kecaman netizen negara itu yang membawa kepada beliau dilaporkan menggantung diri.
Bukan sahaja di luar negara malah di Malaysia sendiri terdapat beberapa kes bunuh diri melibatkan pelajar sekolah dan universiti yang juga didakwa berpunca daripada buli siber.
Antara kes yang mendapat perhatian besar ialah kematian pempengaruh media sosial Esha yang ditemui meninggal dunia pada 5 Julai 2024 selepas sebelum itu membuat laporan polis mengenai ancaman dan gangguan dalam talian.
Kes berkenaan mencetuskan perhatian nasional terhadap keperluan memperkukuh tindakan terhadap buli siber.
KES ESHA CETUS PERHATIAN NASIONAL
Esha, 30, dilaporkan berdepan gangguan di media sosial termasuk dakwaan ugutan dan kata-kata kesat dalam sesi siaran langsung.
Sehari sebelum kematiannya, beliau telah membuat laporan polis berhubung ancaman yang diterimanya.
Kes tersebut turut menyaksikan tindakan undang-undang terhadap individu yang dikaitkan dengan kandungan berkenaan. Perkembangan itu mencetuskan desakan supaya kerangka undang-undang bagi menangani buli siber diperkukuh.
UNDANG-UNDANG KINI LEBIH TEGAS
Perkembangan penting berlaku pada 11 Julai 2025 apabila pindaan Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah berkaitan buli mula berkuat kuasa.
Peruntukan baharu Seksyen 507B hingga 507G Kanun Keseksaan secara khusus menangani perbuatan gangguan, ancaman, penghinaan, buli serta penyalahgunaan maklumat identiti, termasuk perbuatan yang dilakukan secara dalam talian.
Pindaan itu juga merangkumi keadaan apabila perbuatan membuli atau provokasi mendorong mangsa melakukan cubaan membunuh diri atau membunuh diri, dengan hukuman yang boleh mencecah 10 tahun penjara, atau denda, atau kedua-duanya bergantung kepada kesalahan yang dilakukan.
Pada masa sama, Seksyen 507A Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan menghendap memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya.
ONSA PERKUKUH TANGGUNGJAWAB PLATFORM
Selain undang-undang jenayah, Online Safety Act 2025 (ONSA) mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2026 bagi memperkukuh keselamatan dalam talian dan meletakkan tanggungjawab lebih jelas kepada penyedia platform digital.
ONSA memberi tumpuan kepada pengurusan risiko kandungan memudaratkan, mekanisme laporan dan bantuan pengguna serta perlindungan khusus terhadap kanak-kanak dan golongan rentan.
Ini bermakna usaha membanteras buli siber kini tidak hanya bergantung kepada mangsa untuk membuat laporan, tetapi turut melibatkan tanggungjawab sistemik penyedia platform dalam mengurus risiko
keselamatan digital.
BULI SIBER TIDAK BERHENTI APABILA TELEFON DIMATIKAN
Berbeza dengan buli secara bersemuka, gangguan dalam talian boleh berlaku 24 jam sehari dan kandungan yang telah tersebar boleh disimpan, dikongsi semula serta dilihat oleh khalayak yang jauh lebih besar.
Ancaman, penghinaan, penyebaran maklumat peribadi dan gangguan berulang boleh memberi tekanan emosi yang berat kepada mangsa.
Justeru, mangsa tidak seharusnya berdiam diri.
Bukti seperti tangkap layar, pautan, mesej, rakaman atau maklumat akaun pelaku wajar disimpan untuk membantu proses laporan dan siasatan.
